Pening! Ini 7 Cabaran Dalam Rawatan Alergi

rawatan alergi

Rawatan alergi sememangnya mencabar. Anda mungkin tahu alergi akan menyebabkan kegatalan atau ruam gegata. Nama lain bagi simptom tersebut adalah urticaria atau orang tua-tua selalu sebut ludah jin. Bunyi macam mistik, namun saya tidak pasti asal-usul gelaran tersebut dan apa kaitannya dengan jin. Atau persoalan lain seperti betul ke jin boleh meludah?

Apa yang mungkin anda tidak tahu adalah masalah alergi tidak hanya dimanifestasikan sebagai gejala kegatalan semata-mata.

Ada pesakit yang menghidap masalah alergi namun tidak mendapat kegatalan, sebaliknya pengsan selepas mengambil makanan. Ada juga yang muntah berkali-kali selepas mengambil ubat, ada yang tiba-tiba sakit perut dan lebih teruk, ada yang sesak nafas.

Rawatan alergi melibatkan penggunaan ubat steroid untuk menurunkan keradangan yang sedang menggila di dalam tubuh badan. Ironinya, ada juga pesakit yang alergi terhadap ubat steroid sehingga menyukarkan proses rawatan alergi.

Dalam dunia perubatan, rawatan alergi dianggap ringkas namun boleh jadi kompleks sekiranya pesakit datang dengan gejala selain gatal-gatal tubuh. Artikel ini ditulis untuk merungkaikan sebahagian kecil berkaitan isu dan permasalahan yang dihadapi oleh pekerja kesihatan dalam merawat masalah alergi.

Teruskan membaca.

Bagaimana alergi berlaku?

askar
Gambar oleh Pixabay

Tubuh badan kita dilindungi oleh sistem imun. Secara ringkasnya, dalam konteks sebuah negara, ia adalah pasukan ketenteraan yang mengawasi proses biologi. Setiap individu mempunyai sistem pertahanan badan yang unik.

Sebagai contoh, sistem imun badan saya berkemungkinan mempunyai carakerja yang berbeza berbanding dengan sistem imun di dalam tubuh anda.

Oleh sebab itu, jika dilihat dalam konteks jangkitan, gejala yang dialami oleh setiap individu boleh jadi berbeza. Tindak balas yang ditonjolkan oleh sistem imun bergantung kepada tahap kecekapan mereka menyasar lalu mengacu senjata ke arah penceroboh biologi.

Dalam konteks alergi, allergen atau perkara yang membuatkan anda mengalami proses radang dikenalpasti oleh sistem imun badan sebagai penceroboh. Contohnya, jika anda alergi kepada kacang, sistem imun anda akan mengenal pasti kacang sebagai penceroboh atau pengancam yang masuk untuk membuat kerosakan.

Saya tahu perkara ini agak pelik. Selalunya konteks penceroboh yang kita gunakan merujuk kepada makhluk kecil mikro seperti bakteria, virus dan parasit. Namun bagi mereka yang menghidap masalah alergi, allergen itu dianggap sebagai ancaman oleh sistem pertahanan badan sendiri.

“Tapi doktor, dulu saya makan kacang boleh je. Kenapa sekarang baru kena?”

Ada juga kes di mana seseorang itu elok sahaja memakan kacang di masa lampau, namun tiba-tiba mendapat gelaja alergi apabila mengambil kekacang. Penangguhan proses radang ini berlaku kerana sistem imun sedang mengumpul maklumat sebelum bertindak. Ia mengesan kehadiran pengancam namun tidak berbuat apa-apa pada pertemuan pertama.

Sekiranya anda makan kacang sekali lagi, mereka terus merembeskan antibodi yang dikenali sebagai immunoglobulin E (IgE). Antibodi ini akan mengaktifkan proses keradangan sehingga menyebabkan tercetusnya 5 perkara berikut:

  1. Rubor (kemerahan)
  2. Calor (kenaikan suhu)
  3. Tumor (kebengkakan)
  4. Dolor (sakit)
  5. Functio laesa (hilang fungsi)
bersin
Gambar oleh Pixabay

Antara organ atau tisu yang terkesan berikutan pengaktifan proses radang di dalam badan adalah hidung, tekak, sinus, telinga, kulit dan perut.

Antibodi IgE yang dihasilkan oleh sistem imun badan mempunyai kecenderungan spesifik terhadap punca alergi. Sebagai contoh bagi mereka yang alergi kepada bulu kucing, mereka hanya mempunyai IgE yang bertindak balas terhadap bulu kucing. Bagi yang alergi terhadap banyak perkara, mereka mempunyai antibodi IgE yang pelbagai.

Sukar untuk kita rumuskan mengapa seseorang itu alergi terhadap sesuatu perkara namun tidak kepada perkara yang lain. Bahkan saya lagi tidak tahu cara hendak menerangkan mengapa seseorang itu alergi kepada lebih daripada 1 allergen. Apa yang memacu penghasilan IgE sehingga menyebabkan seseorang itu alergi?

Kajian dalam bidang ini sedang giat dijalankan dan tahap kefahaman kita terhadap proses radang semakin meningkat hari demi hari. Kesan daripada kemajuan ini, rawatan alergi juga berubah mengikut pengetahuan semasa.

Namun, apa yang boleh saya katakan, mereka yang mempunyai sejarah keluarga alergi mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat masalah alergi sekiranya terdedah kepada allergen tersebut. Jika ibu bapa anda alergi kepada telur, berkemungkinan besar anda turut alergi kepada telur.

Fakta menarik tentang alergi

rawatan alergi
Gambar oleh Pixabay

Dalam masyarakat kita, tahap keseriusan masalah alergi sering dipandang enteng. Kadangkala kehadiran mereka ke hospital hanya selepas berjam-jam simptom bermula. Katanya “Ingin pantau dahulu di rumah, jika gejala semakin teruk baru datang hospital”.

Saya juga pernah berjumpa dengan seseorang yang hanya menyapukan air garam pada ruam gegata kerana dipercayai gejala tersebut kesan pendedahan terhadap hama dan bukannya alergi.

Kaedah rawatan alergi ini boleh jadi berbahaya memandangkan ada keadaan kesihatan yang menyebabkan gegata semakin teruk apabila terdedah kepada air garam; Salt dependent aquagenic urticaria (SDAU).

Bagi mereka yang tidak tahu, reaksi alergi boleh berlaku bila-bila masa. Seperti yang saya sebut, seseorang itu boleh mendapat masalah alergi selepas terdedah kepada allergen walaupun di masa lampau dia tidak alergi terhadap perkara tersebut.

Contohnya, saya boleh menunjukkan gejala alergi selepas makan telur pada usia 30 tahun walaupun sudah hampir 3 dekad saya makan makanan tersebut tanpa sebarang masalah. Dalam kes ini, siasatan klinikal perlu dijalankan melalui pengambilan darah, membuat ujian skin prick untuk mengesahkan status alergi. Mungkin juga saya alergi terhadap bahan yang dicampur dengan masakan telur?

Berbicara mengenai masakan, masalah alergi tidak terhad kepada makanan semata-mata. Ada pesakit yang alergi kepada lipas. Saya tidak tahu bagaimana dia tahu dia alergi lipas. Mungkin dia nak buang lipas lalu mendapat masalah alergi atau dia memang makan lipas.

Antara allergen bukan makanan yang lazim adalah:

  1. Habuk
  2. Debunga
  3. Hama
  4. Bulu binatang
  5. Getah lateks
  6. Barang kosmetik
  7. Besi lazimnya nikel
rawatan alergi
Gambar oleh Pixabay

Bila bercakap mengenai alergi, pasti anda semua terfikir keadaan di mana seseorang itu hadir ke hospital dengan ruam gegata dan muka bengkak kan? Bukan semua reaksi alergi akan menyebabkan kesan seteruk itu.

Ada juga sejenis alergi yang selalu berlaku dalam kalangan manusia terutamanya jika terdedah kepada habuk atau cuaca sejuk. Masyarakat kita sering menggelarnya resdung. Walaupun gelaran itu turut digunakan pada penyakit radang sinus, sinusitis.

Masalah resdung atau allergic rhinitis mungkin tidak begitu serius, namun ia boleh mempengaruhi mood dan fokus individu. Kita juga mempunyai kecenderungan untuk mengambil cuti sakit sekiranya menghidap masalah resdung. Produktiviti boleh merundum teruk dengan keadaan hidung yang sedang sakit, merah dan tidak berhenti-henti bersin.

Seperti yang telah saya sebutkan tadi, alergi turut dipengaruhi oleh faktor genetik. Jika ibu bapa mempunyai masalah alergi, anak turut berisiko mendapat masalah yang sama. Malah, alergi turut meningkatkan risiko seseorang itu untuk didiagnosis dengan masalah asma.

Anda perlu ingat ia hanya meningkatkan risiko sahaja. Bukan bermaksud seseorang itu ada alergi, dia pasti akan mendapat asma. Itu tidak betul.

Nak tahu fakta yang lebih menarik? Jika dilihat pada kajian terkini, bilangan kanak-kanak yang menghidap alergi semakin meningkat. Banyak kajian dan teori telah dikeluarkan untuk menerangkan fenomena ini antaranya adalah hipotesis kebersihan (hygiene hypothesis).

Melalui gaya hidup moden, peningkatan pencemaran di sekeliling dan kurang pendedahan terhadap benda kotor semasa kecil, seseorang itu berisiko tinggi untuk mendapat masalah alergi.

Sistem imun kita sememangnya hebat dan sensitif. Kita tahu bayi mempunyai sistem imun yang lemah memandangkan mereka masih lagi dalam proses membesar. Sebarang pendedahan kepada allergen pada usia tersebut, ketika sistem pertahanan badan sedang matang, tidak memberikan kesan yang begitu teruk berbanding jika pendedahan berlaku semasa usia sistem pertahanan badan sudah dianggap matang. Natijahnya, kehadiran partikel yang dianggap pengancam itu lebih diterima masuk.

Kesannya, tiada IgE yang dicipta untuk memusnahkan partikel tersebut maka tiada reaksi alergi.

Namun anda kena ingat, bukan semua kanak-kanak begitu ya. Macam yang saya katakan pada permulaan penulisan, keupayaan dan kecenderungan sistem imun kita berbeza mengikut individu.

7 cabaran dalam rawatan alergi

rawatan alergi
Gambar oleh Pexel

Cabaran berkaitan masalah alergi tidak bermula dengan rawatan. Seperti keadaan kesihatan yang lain, penting untuk kita mendiagnosis masalah alergi terlebih dahulu sebelum memberikan rawatan alergi. Dalam amalan klinikal, setiap pesakit akan diperiksa bermula dengan pengambilan sejarah, pemeriksaan fizikal, pemetaan diagnosis, pengambilan darah dan rawatan.

Berikut merupakan 7 cabaran dalam mendiagnosis dan memulakan rawatan alergi. Ambil perhatian, perkara di bawah hanya ringkasan dan sebahagian cabaran dalam merawat masalah alergi. Ia tidak menggambarkan keseluruhan pergelutan dalam kalangan pekerja kesihatan.

  1. Diagnosis yang tidak tepat. Sama seperti keadaan kesihatan yang lain, simptom alergi tidak begitu spesifik dan boleh didapati dalam penyakit seperti asma, sakit jantung, kegagalan jantung, keracunan makanan dan masalah berkaitan buah pinggang. Apa yang lebih menakutkan sekiranya pesakit datang dalam keadaan serius (turut dikenali sebagai anafilaksis). Mereka memerlukan suntikan adrenalin untuk membuka ruang pernafasan dan menurunkan radang di seluruh badan dengan kadar segera. Pun begitu, jika diagnosis yang dibuat tidak menjurus ke arah alergi/anafilaksis walhal pesakit mengalami masalah tersebut, maka rawatan juga boleh jadi tidak tepat. Di sinilah pentingnya seorang doktor mengambil sejarah pesakit, melakukan pemeriksaan fizikal terutamanya penilaian ruang pernafasan untuk melengkapkan pemetaan diagnosis di dalam minda. Jika kamu sebagai pesakit tertanya-tanya “Kenapa doktor ni banyak tanya, bagi jelah oksigen, aku tengah sesak nafas ni.”, inilah sebabnya. Oksigen hanyalah rawatan sokongan, bukan penyembuh kepada masalah alergi. Maka seboleh-bolehnya, cuba sehabis baik untuk berikan kerjasama.
  2. Kurang pengetahuan dalam kalangan orang awam. Bukan semua orang tahu gejala alergi atau anafilaksis. Rawatan alergi hanya boleh diberikan kepada mereka yang cakna dan mahu memberikan kerjasama. Sebagai contoh, mustahil buat pekerja kesihatan membantu pesakit yang tidak mahu ke hospital ketika mereka mengalami masalah alergi. Lebih teruk lagi,  jika mereka mendapat kejutan anafilaksis (anaphylactic shock), satu komplikasi serius yang boleh mengancam nyawa, tanpa kehadiran golongan profesional. Alergi tidak semestinya ruam gegata. Ia boleh dimanifestasikan sebagai gejala daripada setiap sistem yang berbeza seperti paru-paru (sesak nafas), jantung (berdebar-debar, tekanan darah rendah), gastrousus (muntah, loya, cirit-birit dan sakit perut) dan neurologi (hilang kewarasan, pengsan).
  3. Pengurusan kecemasan yang lambat. Bukan semua fasiliti kesihatan mempunyai akses kepada adrenalin, apatah lagi penyuntik automatik seperti EpiPen. Dalam sesetengah kes, diagnosis anafilaksis dibuat lambat maka pesakit bakal mendapat komplikasi berkaitan dengan masalah anafilaksis. Apa yang lebih teruk lagi adalah pesakit tidak diberikan adrenalin langsung berikutan kesilapan dalam mendiagnosis penyakit. Jika fasiliti kesihatan seperti klinik swasta tidak mempunyai adrenalin, rujukan harus dibuat secepat mungkin dan pesakit perlu dihantar menggunakan servis ambulans.
  4. Kos dan akses kepada rawatan alergi. Harga penyuntik automatik, EpiPen adalah sangat mahal. Satu suntikan mencecah hampir RM800 dan bukan semua mampu membayar harga semahal itu. Malah dalam konteks hospital sekalipun, kebanyakan adrenalin yang disuntik masuk hanya menggunakan picagari biasa. Isu etika yang mungkin timbul di sini adalah sekiranya pesakit hadir ke klinik atau hospital swasta dalam keadaan anafilaksis dan mereka tidak mampu hendak membayar kos EpiPen atau rawatan alergi, apa yang doktor perlu buat? Adakah doktor hanya perlu memberi steroid dan ubat Piriton lalu menghantar pesakit ke Hospital Kerajaan dalam keadaan tidak stabil? Bagaimana jika pesakit juga alergi terhadap steroid dan Piriton?
  5. Reaksi dua fasa (biphasic reaction). Walaupun pesakit sudah mendapat rawatan alergi, mereka perlu dipantau sekurang-kurangnya 12 jam bagi masalah anafilaksis. Ia berikutan dalam tempoh waktu tersebut, risiko untuk gejala alergi berlaku semula tinggi (reaksi dua fasa) dan rawatan alergi perlu diteruskan secara berkala. Cabaran yang sering dialami oleh staf kesihatan adalah tatkala pesakit tidak mahu dipantau dan bertegas mahu pulang ke rumah. Bukan tak boleh tetapi agak berisiko. Pesakit perlu arif dan peka dengan kemungkinan diri mereka akan mendapat gejala alergi semula. Oleh sebab gejalanya agak meluas dan tidak spesifik, orang awam mungkin akan terlepas pandang sekiranya reaksi dua fasa berlaku. Jika pesakit sudah dipantau selama 12 jam, mereka boleh didiscaj pulang. Namun rawatan alergi susulan perlu dilakukan seperti membekalkan ubat steroid untuk beberapa hari dan memberikan surat untuk susulan di Klinik Kesihatan. Reaksi dua fasa boleh berlaku dalam tempoh 72 jam selepas anafilaksis bermula namun risikonya tertinggi pada 10 jam pertama.
  6. Kurang pakar alergi. Memang tak dapat dinafikan jumlah doktor pakar yang berkhidmat dalam bidang imunologi agak sedikit. Bukan semua hospital mempunyai pakar alergi dan jika ada pun, mereka sudah tentunya mempunyai beban pesakit yang ramai.
  7. Allergen yang tidak jelas. Jika masalah alergi berlaku tanpa pencetus yang jelas, ia boleh jadi mencabar buat pesakit. Kesilapan boleh berlaku di mana-mana seperti di rumah, sekolah dan restoran. Malah, makanan yang dijual di kantin atau restoran mungkin mengandungi bahan yang mencetus serangan alergi. Akses kepada ujian diagnostik alergi yang dipanggil sebagai skin prick test agak terbatas dan bukan semua fasiliti kesihatan memiliknya. Malah, ujian ini mengenakan caj yang agak mahal.
rawatan alergi
Gambar dilesenkan Creative Common 4.0 oleh Smirkybec

Jika anda mengalami gejala selepas mengambil makanan, ubatan atau selepas terdedah kepada sesuatu yang berpotensi menjadi pencetus alergi, sila ke klinik atau hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan alergi.

Artikel ini ditulis khusus untuk Blog Nazri 

Artikel ini ditulis untuk mendidik masyarakat tempatan berkenaan dengan topik kesihatan. Ia bukanlah rujukan yang sesuai untuk mendiagnosis. Dapatkan bantuan dari fasiliti kesihatan berdekatan sekiranya anda menghidap gejala penyakit tertentu.

Nazri Zulkafli

blogger fakta/fiksyen

Doktor Kesihatan dan Penulis separuh masa. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perubatan Dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan menamatkan latihan perubatan (Housemanship) di Hospital Putrajaya pada tahun 2023

Nazri Zulkafli

Popular
Menarik

Ruang Iklan

Berminat hendak menempah ruang iklan ini?
Teroka
Iklan

Artikel Lain

Dapatkan tips dan fakta menarik

Langgan servis e-mel percuma