Tahukah anda, aktiviti percutian bukan sahaja boleh merehatkan minda? Kebaikannya meliputi aspek kesihatan fizikal, emosi dan spiritual.
Malah, kebanyakan negara (jika bukan semua) di seantero dunia menggalakkan rakyatnya untuk pergi mengembara di dalam dan di luar sempadan negara untuk menimba ilmu, mencari pengalaman dan menyaksikan alam ciptaan Tuhan yang luas terbentang.
Cuba anda namakan tiga tempat yang pernah anda lawati dan kekal menjadi memori indah sehingga ke hari ini.
Sekiranya anda dapat menyenaraikan lebih daripada tiga, anda berada di atas landasan yang betul. Teruskan!
Jika kurang daripada tiga tempat yang anda pernah lawati seumur hidup, artikel ini ditulis untuk memberikan sedikit pengetahuan dan menguatkan sebab kenapa anda perlu melancong sekurang-kurangnya 2 kali setahun demi kesihatan.
Teruskan membaca.
Kempen Cuti-cuti Malaysia

Jika dilihat dari sudut pandang sains, banyak kajian saintifik yang mengkaji perkaitan di antara kesihatan tubuh secara holistik dengan kekerapan individu pergi melancong.
Persoalan yang mungkin menerawang di dalam fikiran anda; Ke mana destinasi yang perlu anda tuju untuk mendapat kebaikan ini secara optimum? Jawapannya ringkas. Bergantung kepada kemampuan dan keinginan anda.
Dalam atau luar negara tidak memberikan impak yang begitu signifikan jika dilihat pada konteks kesihatan. Kesan aktiviti percutian dianggap bakal memberikan natijah yang lebih kurang sama.
Pun begitu, aspek persiapan sebelum pergi bercuti seperti perancangan cuti, tempat menarik yang hendak dilawati, bajet perbelanjaan dan aktiviti semasa bercuti boleh mempengaruhi keterujaan seseorang untuk pergi melancong.
Jika perkara ini tidak diuruskan dengan baik, sukar untuk seseorang itu mendapatkan kesan positif malah mungkin akan lebih stres.
Syarikat-syarikat swasta dan separa kerajaan, sama ada bertaraf tempatan atau antarabangsa, turut menggalakkan pekerja mereka untuk menggunakan cuti rehat bagi meningkatkan efisiensi.
Kesan daripada kelebihan yang diwujudkan buat pekerja ini boleh memberikan nilai tambah terhadap hasil keluaran syarikat seterusnya prestasi syarikat secara menyeluruh.

Badan kerajaan di Malaysia (mungkin juga negara lain) bergiat aktif mempromosikan aktiviti pelancongan di dalam negara berbanding negara luar. Motifnya lebih menjurus ke arah pembangunan ekonomi rakyat tempatan selain mempromosikan gaya hidup sihat melalui aktiviti percutian.
Hakikatnya anda boleh ke mana sahaja yang anda suka sama ada dekat atau jauh, tinggi atau rendah, cetek atau dalam.
Namun promosi oleh badan kerajaan terhadap aktiviti pelancongan domestik telah membuka mata banyak pihak terhadap keindahan dan kehebatan tarikan pelancongan di Malaysia.
Negara kita ada Pulau Langkawi yang merupakan permata berharga di utara semenanjung. Masyhur dengan kisah-kisah lagenda dan pantainya yang cantik, pulau ini menempatkan beberapa tarikan utama seperti Taman Geoforest Kilim, pusat beli belah bebas cukai, berdozen pulau-pulau kecil di sekeliling dan pemandangan menakjubkan menghadap Lautan Andaman.
George Town di Pulau Pinang pernah dinobatkan sebagai salah satu Tapak Warisan Dunia UNESCO. Terkenal dengan makanannya, Pulau Pinang merupakan satu lokasi pelancongan yang menakjubkan. Ukiran jalanan, bangunan-bangunan kolonial, kedai nasi kandar yang berlambak-lambak; semuanya ada di Pulau Pinang.
Masih rasa biasa? Negara kita ada Aki Nabalu, antara gunung tertinggi di Asia Tenggara. Terletak di Sabah, ia merupakan satu tumpuan para pelancong dan tidak kurang juga pendaki tempatan dan warga asing. Selain itu, Sabah juga terkenal dengan pantai dan lautan jernih membiru.
Pada tahun 1999, agensi kerajaan Tourism Malaysia telah mewujudkan kempen “Cuti-cuti Malaysia”. Masih ingatkah anda akan lagu tema “Cuti-cuti Malaysia” yang dibawa oleh Datuk Siti Nurhaliza? Sehingga ke hari ini, kempen tersebut kekal dipromosikan dan beberapa inisiatif penambahbaikan telah dilaksanakan untuk mengalakkan penglibatan rakyat terhadap aktiviti percutian di dalam negara.

Inisiatif “Dekat Je” telah dilancarkan pada tahun 2015 untuk merancakkan aktiviti pelancongan domestik. Konsep staycation yang diterapkan dalam kempen ini telah berjaya menarik perhatian rakyat Malaysia sehingga menyebabkan peningkatan lebih daripada 1 juta pengunjung warganegara di seluruh Malaysia.
Matlamatnya adalah untuk meningkatkan tahap upaya industri pelancongan domestik sekaligus ekonomi dan memperkenalkan budaya serta tarikan tempatan kepada pelancong dalam dan luar negara.
Selain daripada itu, Tourism Malaysia turut aktif dalam mempromosikan aktiviti pelancongan di media sosial dan platform digital. Jualan dengan diskaun besar-besaran selama 24 jam pada tahun 2024 misalnya melibatkan lebih daripada 50 pakej percutian domestik yang diterajui oleh lebih daripada 20 ejen pelancongan.
Kempen yang diberi nama “Bah! Cuti-Cuti Malaysia Online Bundle Travel Fair 2024,” memfokuskan pakej percutian ke Sabah serta Labuan dan telah mendapat sambutan baik daripada pelbagai pihak termasuklah pelancong luar negara.
Inisiatif-inisiatif yang diwujudkan oleh kerajaan terhadap sektor pelancongan telah berjaya melentur keinginan penduduk untuk lebih cenderung terhadap aktiviti percutian di dalam negara.
Berbanding domestik, aktiviti percutian di luar negara agak mahal dengan tukaran mata wang asing berbeza bergantung kepada negara yang dilawati. Ada juga faktor lain yang mungkin membataskan pergerakan anda ke luar negara seperti faktor keselamatan, keperluan VISA, sekatan perjalanan dan sebagainya. Dalam konteks ini, aktiviti percutian di dalam negara pun sudah memadai.
Okey, cukup berkenaan dengan aktiviti percutian domestik. Pasti anda membuak-buak ingin tahu, apa kebaikan kesihatan yang boleh anda nikmati daripada aktiviti pelancongan? Teruskan membaca.
9 kebaikan aktiviti pelancongan daripada perspektif kesihatan

Dalam dunia yang serba kompetitif ini, kita mudah terperangkap dalam satu kitaran masalah yang akhirnya menjurus kepada stres dan keletihan mental (burnout).
Masalah di tempat kerja? Masalah dengan kekasih? Masalah dengan manusia lain? Rakan baik? Bos? Kenalan? Rakan sekerja? Semuanya boleh menyebabkan stres dan jika ia tidak diuruskan dengan betul boleh menyebabkan kemurungan.
Aktiviti percutian adalah salah satu cara untuk kita lari dari rutin harian yang memenatkan. Ia menawarkan kebaikan kesihatan merangkumi aspek fizikal, mental, emosi dan buat sesetengah individu, spiritual.
1. Aktiviti percutian boleh mengurangkan stres
Ini merupakan satu kelebihan yang boleh dinikmati serta merta. Saat kita bergerak ke lapangan terbang, menaiki bas atau memandu ke arah destinasi, kita akan merasa gembira dan teruja. Berbeza dengan perjalanan hendak ke tempat kerja yang kita tempuh setiap hari; penuh dengan stres. Dah la rasa tertekan dengan kerja, ditambah pula dengan rasa tertekan hendak menempuh kesesakan jalan raya, kesesakan kenderaan awam, kerenah pelanggan dan sebagainya.
Percutian membawa anda keluar daripada rutin harian. Anda boleh memilih untuk ke pantai, mendaki gunung, merentas hutan, meneroka tempat baharu atau melakukan aktiviti mencabar seperti menyelam, terjun dari udara dan sebagainya.
Kajian menunjukkan percutian jangka pendek boleh menurunkan tahap hormon kortisol di dalam badan. Ia merupakan hormon yang sering dikaitkan dengan rasa stres. Mereka yang pergi bercuti akan merasa lebih tenang, fokus dan cenderung untuk menjadi lebih kreatif apabila pulang kelak.
Ketenangan mental yang diperoleh daripada aktiviti percutian boleh menghindarkan rasa resah dan kemurungan, menjadikan tahap stres lebih terkawal dan meningkatkan kebolehan anda untuk menyelesaikan masalah di tempat kerja.
2. Rasa tenteram di kelilingi alam semula jadi
Jika anda memilih untuk melakukan aktiviti di kawasan alam semula jadi seperti gunung, laut, hutan dan sungai, tahap kesihatan fizikal dan emosi anda akan bertambah baik. Banyak kajian saintifik yang telah membuktikan kaitan antara pendedahan kepada alam semula jadi dengan tahap kesihatan yang baik.
Aktiviti percutian di alam semula jadi boleh menurunkan keradangan, tekanan darah dan menguatkan sistem pertahanan tubuh badan.
Di Jepun, terdapat satu amalan yang digelar Shinrin-yoku atau terapi hijau. Ia merupakan satu bentuk amalan terapeutik yang boleh merangsang dan merehatkan minda sambil meluangkan masa di dalam hutan. Dengan kata mudah, ia seperti anda bertapa di dalam hutan.

3. Aktiviti fizikal menjadi lebih seronok
Jika di tempat kerja anda sedentari (tak begitu aktif), aktiviti percutian boleh menjadikan diri anda lebih aktif. Anda akan lebih banyak berjalan untuk meneroka kawasan baharu, mendaki gunung, berbasikal atau berenang; bergantung kepada aktiviti yang anda buat. Anda mungkin tidak sedar pun anda bergerak aktif kerana sedang ralit bercuti.
Aktiviti kardiovascular seperti berjalan, menaiki dan menuruni tangga, mendaki dan sebagainya boleh menguatkan otot dan menyihatkan jantung seterusnya menyumbang ke arah kesihatan tubuh secara menyeluruh.
4. Sistem imun anda lebih efisien
Apabila kita terdedah pada persekitaran baharu, badan kita akan beradaptasi dengan perubahan iklim dan kehadiran mikroorganisme.
Bagi sesetengah lokasi percutian, anda memerlukan vaksin sebelum berangkat ke sana untuk mengelakkan jangkitan endemik. Anda boleh pergi ke laman sesawang Kementerian Luar Negeri untuk menyemak senarai negara yang memerlukan vaksin.
Pendedahan kepada virus menjadikan sistem imun kita lebih efisien. Sama seperti vaksin, sistem pertahanan badan kita akan belajar mengenal penceroboh yang masuk. Dibantu oleh komponen sistem imun yang lain, antibodi untuk jangkitan virus boleh dicipta dan tubuh kita akan lebih terlindung kelak.
Walau bagaimanapun suka untuk saya ingatkan ini tidak bermakna anda boleh pandang ringan dan pergi ke mana-mana negara tanpa persiapan. Jika perlu ambil vaksin sebelum bertolak, sila ambil vaksin ya.

5. Kepelbagaian budaya buat fungsi kognitif lebih berkembang
Aktiviti percutian bukan untuk tujuan seronok semata-mata. Anda boleh mempelajari pelbagai perkara termasuklah kebudayaan tempat yang anda lawati.
Sebagai contoh, jika anda bertandang ke Sarawak, ambil tahu pasal budaya setempat. Pergi tengok rumah panjang dan cuba makanan tempatan. Rangsangan otak melalui aktiviti sebegini boleh membuatkan anda lebih berempati, membina kecerdikan emosi dan fleksibiliti kognitif.
Malah kajian menunjukkan orang yang selalu melawat tempat baharu mempunyai minda yang lebih terbuka, mudah beradaptasi dan kreatif.
Dalam jangka masa panjang, aktiviti yang melibatkan rangsangan otak sebegini menjadikan minda lebih aktif dan anda akan terhindar daripada permasalahan seperti Alzheimer.
6. Aktiviti percutian buat tidur lebih lena
Jika anda mengalami masalah tidur seperti insomnia, aktiviti percutian boleh membantu. Percutian yang melibatkan aktiviti di alam semula jadi terutamanya, boleh menyebabkan badan membuat tetapan semula (reset) ritma sirkadian (jam biologi) yang penting untuk tidur.
Percutian boleh mengurangkan tekanan serta pendedahan terhadap lampu buatan dan skrin komputer. Perkara ini menjurus kepada tahap kualiti tidur yang lebih baik.
Malahan, ramai pengembara yang melaporkan mereka tidur lebih lena semasa dan selepas pulang daripada aktiviti percutian.
Namun perlu diingatkan juga, jika anda bercuti merentasi zon masa, anda mungkin akan mengalami masalah hendak tidur semasa sedang bercuti.
Tidur sangat penting untuk kelangsungan hidup dan ia boleh mempengaruhi risiko individu untuk mendapat masalah kesihatan seperti masalah jantung, strok, darah tinggi dan kemurungan. Jika aktiviti percutian membantu anda tidur lebih nyenyak, ia umpama satu pelaburan kesihatan yang anda akan nikmati semasa dan selepas bercuti.

7. Erat perhubungan ketika bercuti
Tidak kiralah sama ada anda bercuti dengan keluarga, rakan atau bertemu dengan orang asing, perhubungan di antara manusia merupakan salah satu pengalaman bercuti yang perlu dimanfaatkan.
Interaksi sosial yang berlaku ketika bercuti boleh mengeratkan hubungan silaturrahim. Dalam masa yang sama, anda boleh mencipta memori yang berkekalan sehingga ke akhir hayat.
Bagi mereka yang gemar bercuti seorang diri, anda akan mempunyai peluang untuk membuat rakan baru. Pertalian yang utuh dalam kalangan manusia merupakan kunci kepada tahap kesihatan emosi yang optimum.
Melalui pengalaman inilah anda boleh berkongsi pengalaman, meluahkan permasalahan sambil menikmati suasana tenang bersama dan memanfaatkan peluang untuk mengenali seseorang dengan lebih mendalam.
8. Menanam kesedaran dan rasa syukur
Apabila anda pergi bercuti, anda cenderung untuk lebih peka dengan keadaan sekeliling. Anda akan mengamati bunyi-bunyian, suasana di sekeliling dan pemandangan. Kepekaan ini memberikan manfaat yang besar terhadap tahap kesihatan mental.
Ia boleh mengurangkan keresahan, mencetus kegembiraan dan menghindarkan kemurungan.
Anda juga akan memperolehi perspektif melalui pemerhatian terhadap cara hidup orang di tempat baharu. Kesyukuran akan terbit dan anda akan merasa rendah diri dan lebih berpuas hati terhadap apa yang dikurniakan kepada anda pada ketika itu.
9. Cenderung untuk lebih sihat setelah pulang
Aktiviti percutian membuatkan anda lebih cenderung untuk meneruskan gaya hidup sihat dan berkelakuan positif. Anda akan berjalan lebih kerap, mengambil makanan yang seimbang dan lebih peka terhadap tahap kesihatan mental yang anda sedang alami.
Ia membuka lebih banyak kemungkinan dan perkara ini bermaksud anda akan lebih cenderung untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan bermakna.

Tuntas
Pada tahun 1948, satu kajian jantung telah dijalankan di bandar Framingham bagi mengkaji faktor risiko penyakit jantung. Dapatan kajian tersebut menunjukkan subjek terutamanya wanita yang bercuti (melancong) kurang daripada 2 kali setahun berisiko untuk mendapat penyakit jantung.
Dapatan tersebut sama dengan apa yang diperolehi oleh kajian yang dijalankan oleh University New York. Aktiviti percutian menyebabkan penurunan risiko kematian akibat penyakit jantung setinggi 30%.
Malahan dalam Islam sendiri pun kita dituntut untuk berkelana ke setiap pelusuk dunia untuk mengagumi kebesarannya dan menimba ilmu.
So, tunggu apa lagi? Rancang aktiviti percutian anda sekarang dan terokailah dunia ini sebanyak yang mungkin. Siapa tahu, ia boleh memberikan perspektif baharu untuk anda menambah baik gaya hidup dan pandangan terhadap dunia ini secara menyeluruh.
Artikel ini ditulis khusus untuk Blog Nazri
Artikel ini ditulis untuk mendidik masyarakat tempatan berkenaan dengan topik kesihatan. Ia bukanlah rujukan yang sesuai untuk mendiagnosis. Dapatkan bantuan dari fasiliti kesihatan berdekatan sekiranya anda menghidap gejala penyakit tertentu.