Ada ura-ura mengatakan jika seseorang itu main lumpur atau sesuatu yang kotor pada waktu kecil, mereka bakal mempunyai sistem pertahanan badan yang sihat.
Adakah perkara ini benar? Jika ia merupakan satu fakta, bagaimana pendedahan seseorang terhadap persekitaran yang kurang bersih mampu memberikan kelebihan daripada segi sistem imun?
Bukankah seseorang itu akan mempunyai sistem pertahanan tubuh yang kuat sekiranya tahap kebersihan mereka kekal optimum sejak lahir sehingga meningkat dewasa?
Banyak persoalan boleh timbul namun apa yang menarik, kajian sains telah membuktikan mereka yang terdedah kepada persekitaran kotor seperti main lumpur kebiasaannya mempunyai risiko yang rendah untuk mendapat masalah autoimun.
Penjelasan adalah seperti berikut.
Bakteria baik, kunci utama sistem pertahanan badan

Banyak kajian saintifik yang telah membuktikan aktiviti luar yang mendedahkan kanak-kanak kepada elemen yang dianggap tidak bersih seperti main lumpur mampu mengurangkan risiko mereka untuk mendapat masalah autoimun atau alergi.
Autoimun merujuk kepada penyakit yang berpunca daripada sistem pertahanan badan menyerang sel sihat. Alergi dan autoimun mempunyai mekanisme biologi yang hampir sama, kerosakan sel berlaku akibat serangan sistem imun sendiri. Namun ia berbeza dari konteks sumber.
Alergi hanya berlaku sekiranya sistem imun badan bertindak secara agresif apabila sistem tubuh terdedah kepada bahan yang spesifik. Sebagai contoh, mereka yang alergi pada kacang akan mendapat simptom alergi seperti bengkak anggota, ruam satu badan, muntah dan sebagainya apabila mereka mengambil makanan mengandungi kacang.
Berbeza dengan penyakit autoimun, sistem pertahanan badan bertindak tanpa punca yang jelas.
Pada peringkat awal (kanak-kanak), sistem imun badan perlu mempelajari cara untuk membezakan antara sel badan dan bahan asing. Bahan asing pula boleh dibahagikan kepada dua iaitu bahan yang tidak berbahaya atau ejen yang boleh menyebabkan penyakit seperti virus dan bakteria. Bagi memastikan fungsi fisiologi badan berada pada tahap optimum, sistem imun perlu bijak mengesan dan menyerang ejen yang boleh membahayakan tubuh.

Lebih menarik, mikrobes (bakteria baik) memainkan peranan penting dalam mengawal selia integriti sistem imun tubuh. Mikrobes ada di mana-mana; di atas kulit, di dalam usus atau di dalam perut.
Manusia memerlukan bakteria baik untuk berfungsi dengan efisien. Badan kita sudah mula mengumpul mikrobes semenjak kita keluar dari rahim lagi.
Bagi mereka yang lahir secara normal (bukan bedah), kita akan keluar melalui faraj wanita yang dibarisi oleh jutaan bakteria baik. Ejen ini akan melekat dan mula memaksimumkan fungsi biologi manusia serta melindungi tubuh daripada ancaman bakteria/virus yang boleh menyebabkan penyakit.
Susu ibu juga mengandungi jutaan makhluk halus ini. Pengambilan susu ibu secara kerap juga boleh menggalakkan kewujudan koloni bakteria baik di dalam usus.
Apabila seorang anak itu terdedah kepada begitu banyak mikrobes dari pelbagai sumber, ia membantu sistem pertahanan badan untuk lebih familiar terhadap kehadiran bakteria baik ini. Sistem gerak gempur badan akan lebih mengenali siapa lawan dan siapa kawan.
Kaitan sistem imun badan dan main lumpur

Hipotesis hygiene yang diusulkan oleh seorang saintis bernama Rook pada tahun 2003 mempunyai kaitan dengan apa yang kita bincangkan dalam artikel ini.
Secara asasnya, mereka yang kurang terdedah kepada sumber mikrobes pada peringkat awal kehidupan mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat masalah berkaitan sistem pertahanan badan.
Sebagai contoh, pelbagai metod kajian telah membuktikan mereka yang membesar di kawasan ladang atau rumah yang mempunyai binatang peliharaan berisiko rendah untuk mendapat masalah alergi berbeza dengan mereka yang membesar di bandar atau persekitaran tanpa binatang peliharaan.
Walau bagaimanapun, suka untuk saya ingatkan pendedahan kepada bakteria yang diperbincangkan lebih merujuk kepada sumber bakteria baik, bukan ejen makhluk halus yang boleh menyebabkan penyakit.
Malah mereka yang terdedah kepada mikrobes dari pelbagai sumber juga boleh mendapat masalah alergi, peratusan risiko tidak jatuh kepada sifar.
Kritikan yang ditujukan kepada hipotesis ini lebih berfokus kepada penjagaan kebersihan untuk mengelak masalah kesihatan. Walaupun hipotesis hygiene mengusulkan persekitaran yang penuh dengan sumber mikrobes baik untuk tumbesaran kanak-kanak, ini tidak bermakna kita boleh ambil ringan terhadap tahap kebersihan tempat tinggal.

Kaitan main lumpur dengan sistem imun badan boleh dilihat pada kajian yang pernah dijalankan oleh saintis di Finland. Menurut kajian tersebut, kanak-kanak yang bermain di lokaliti berlumpur, bertanah atau berumput mempunyai jumlah bakteria baik yang tinggi pada permukaan kulit mereka. Subjek kajian dibandingkan dengan kanak-kanak yang bermain di taman permainan buatan dengan permukaan lantai diperbuat daripada batu.
Perkara ini memberi klu kepada kita bahawa bakteria yang terdapat pada benda yang kita anggap kotor boleh membantu meningkatkan kematangan sistem imun badan lalu mengurangkan risiko untuknya menjadi terlalu aktif.
Kajian serupa dijalankan di Sweden turut menunjukkan dapatan yang sama. Mereka yang membesar dalam persekitaran semula jadi yang dihuni binatang peliharaan mempunyai risiko alergi yang rendah. Usus mereka mengandungi sejumlah mikrobes yang jauh lebih banyak berbanding dengan kanak-kanak yang dibesarkan dalam persekitaran bersih.
Bila kita fikirkan secara logik pun, tidak pula mereka yang duduk di kawasan desa mempunyai jumlah pesakit yang jauh lebih ramai daripada mereka yang menghuni di bandar.
Malah jika kita lihat, mereka yang merempat di kaki lima, mereka yang hidup susah tanpa rumah juga jarang datang ke hospital kerana sakit. Adakah ini kebetulan atau tubuh mereka dilindungi oleh jutaan bakteria baik yang dikutip merata? Atau mungkin juga mereka sebenarnya sakit namun tidak mampu untuk mendapatkan rawatan?
Islam mementingkan kebersihan

Dalam kita mendalami ilmu sains, tidak lupa juga kepada ajaran Islam. Malah jika dilihat dalam konteks ajaran agama, kebersihan merupakan salah satu daripada pelbagai komponen penting yang dititikberatkan.
Saya tidak menafikan kebenaran kajian dan mungkin juga mikrobes itu menyumbang kepada kekuatan sistem imun badan. Namun ia tidak bermakna kita perlu melupakan tentang amalan kebersihan sehingga tinggal dalam persekitaran yang kotor untuk kekal sihat.
Apa yang ingin saya sampaikan di sini, kanak-kanak main lumpur pada usia muda adalah perkara yang normal. Ramai ibu bapa yang mungkin memarahi anak mereka dengan gelaran ‘pengotor’, namun apa yang tersirat di sebalik perbuatan mereka tidak dinafikan oleh ilmu sains yang dianggap duniawi.
Mikrobes sememangnya merupakan elemen penting bagi menjamin kesejahteraan manusia. Mereka sebahagian daripada kita dan kita kepada mereka. Jika anda mempunyai anak yang suka main lumpur terutamanya selepas hujan, usahlah dirisaukan akan risiko mereka mendapat penyakit. Usah digelar pengotor, usah dimarahi akan tindakan mereka.
Ajari mereka tentang amalan kebersihan dan semoga mereka dilindungi daripada bala dan penyakit yang boleh mencabut nyawa.
Artikel ini ditulis khusus untuk Blog NazriÂ
Artikel ini ditulis untuk mendidik masyarakat tempatan berkenaan dengan topik kesihatan. Ia bukanlah rujukan yang sesuai untuk mendiagnosis. Dapatkan bantuan dari fasiliti kesihatan berdekatan sekiranya anda menghidap gejala penyakit tertentu.