Dah kahwin ke belum tu? Kepada pembaca yang belum kahwin, teruskan usaha mencari pasangan. Kepada mereka yang sudah berkahwin, tahniah dan pertahankanlah rumahtangga korang sebaik mungkin.
Tempuhi liku-liku alam perkahwinan dengan tabah dan dengan penuh kesabaran. Takde siapa yang kata hidup selepas berkahwin lebih mudah. Malah, ada yang beranggapan terlalu besar badai yang bakal menimpa jika berkahwin sehingga mereka cenderung untuk kekal bujang. Mungkin diorang belajar daripada drama-drama melayu di kaca televisyen.
Mana tidaknya, perkahwinan datang dengan pelbagai dugaan yang menguji aspek hubungan suami isteri, kewangan, toleransi, kesihatan, jaringan sosial dan sebagainya. Sebagai orang yang waras, mungkin korang yang belum kahwin tak nak berkahwin jika ia bukan fitrah kita sebagai manusia. Terlalu banyak pendedahan berkaitan dengan perkara negatif terhadap institusi munakahat pada hari ini sehingga ia membentuk persepsi sebegitu.
Namun, Allah telah menciptakan setiap makhluk itu berpasang-pasangan (Surah Al Rum ayat 21) seperti lelaki dan wanita, haiwan jantan dan betina, malah tumbuhan juga mempunyai sistem keserasian tersendiri untuk membiak. Jika perkahwinan itu disyariatkan oleh Tuhan, pastinya ia mempunyai kebaikan yang tersembunyi.
Dalam dunia yang dipelopori oleh rangkaian teknologi, kita sering dimomokkan dengan berita penceraian, permusuhan di antara bekas pasangan suami isteri dan tidak kurang juga kes curang yang semakin berleluasa.

Adakah dunia sudah menjadi semakin teruk? Atau situasinya sama seperti sebelum ini namun rangkaian media sosial bergiat aktif menjadi orang tengah menyebarkan cerita sensasi yang satu ketika dahulu tidak diketahui oleh khalayak umum?
Maklumlah, ketercapaian maklumat masa kini berbeza dengan dahulu. Aib-aib yang seharusnya tersembunyi menyeruak keluar, tersebar ke seluruh ruang dunia digital hanya kerana setiap netizen ada ‘hak’ nak tahu.
Mungkin korang rasa statement aku agak memaksa dan agak negatif.
‘Buat apa nak rush orang yang belum kahwin?’, ‘Biarlah aku nak enjoy dulu waktu single sebelum terperangkap dalam satu penjara sosial selepas menjadi pasangan nanti!’ Kata si Polan.
Sejujurnya aku tak kisah pun korang nak kahwin ke tak. Aku tak dapat apa-apa kebaikan atau keburukan kesan daripada pilihan hidup korang. Cuma sebagai orang Islam, sudah menjadi tanggungjawab setiap umatnya untuk menggalakkan perkara baik, terutamanya jika ia boleh mencegah maksiat. Plus, perkahwinan memupuk sifat matang dan melahirkan rasa tanggungjawab dalam diri korang so it’s actually a win-win.
Hari ni, aku nak tulis berkenaan dengan perkahwinan dan bagaimana ia boleh memberikan impak positif terhadap tahap kesihatan korang.
Ya, tahap kesihatan. Mungkin korang rasa hidup ni memeningkan selepas berkahwin, namun pertalian di antara suami dan isteri dalam institusi kekeluargaan mempunyai kebaikan tersembunyi terutamanya dari sudut kesihatan. Perkara ini turut terbukti oleh kajian sains!
Teruskan membaca.
1. Sistem sokongan emosi dan kesihatan mental

Kalau kita nak bandingkan mereka yang belum kahwin dengan mereka yang sudah kahwin, sistem sokongan merupakan salah satu perbezaan yang jelas.
Sistem sokongan yang utuh boleh bertindak sebagai perisai yang melindungi individu. Pasangan suami isteri yang memberikan galakan, memperakui emosi dan menjadi pendengar setia boleh menurunkan risiko penyakit mental termasuklah kemurungan dan keresahan.
Kajian yang diterbitkan oleh Williams dan Umberson pada tahun 2004 menunjukkan individu yang sudah berkahwin mempunyai tahap beban psikologi yang jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan mereka yang belum kahwin.
Perkahwinan mencipta satu ruang yang selamat untuk seseorang meluahkan emosi, merancang strategi bersama untuk menghadapi permasalahan dalam hidup dan meningkatkan kecenderungan seseorang untuk mendapatkan bantuan golongan profesional sekiranya perlu.
Aku tak maksudkan seseorang itu perlu berkahwin untuk mendapat sokongan emosi. Kadangkala, sokongan itu boleh datang daripada ahli keluarga terdekat.
Namun, kalau kita nak bercakap mengenai keakraban dan kepercayaan yang hendak korang taburkan, pasangan hidup adalah antara pilihan terbaik.
Aku tak consider makwe pakwe yang duduk sebumbung itu sebagai satu institusi kekeluargaan. Selain menyalahi hukum agama dan adat masyarakat setempat, ia tidak memberikan satu beban tanggungan seperti yang korang akan rasa tatkala korang bergelar suami/isteri. Rasa tanggungjawab tu takde!
2. Kurang risiko masalah jantung

Kajian jantung Framingham menunjukkan perkahwinan boleh meningkatkan tahap kesihatan jantung terutamanya kepada golongan lelaki.
Berbanding dengan lelaki yang belum kahwin, lelaki yang berkahwin mempunyai risiko yang rendah untuk mendapat penyakit jantung. Perkara ini benar walaupun mereka sudah melaraskan faktor risiko yang lain.
Kajian analisis meta pada tahun 2018 yang diterbitkan dalam Jurnal Pencegahan Kardiologi Eropah turut menunjukkan korelasi yang sama.
Antara mekanisme yang menyumbang kepada kesan positif ini termasuklah perkongsian bebanan dan permasalahan hidup, cenderung untuk lebih patuh kepada rawatan atau pencegahan penyakit jantung dan tahap stres yang lebih rendah.
Kadang-kadang sakit telinga bila dengar isteri/suami membebel suruh kita makan ubat. Ada yang sampai mengamuk. Tapi melalui pendekatan garang tapi sayang seperti inilah yang meningkatkan tahap kesihatan seseorang.
Biasalah, adakalanya degil sikit, tak nak makan ubat. Maka perkahwinan adalah penyelesaian kepada permasalahan macam tu (gurau je).
3. Fungsi imun menjadi lebih efisien

Ingat lagi ketika kita diperintahkan berkurung semasa virus COVID-19 bermaharajalela. Jalan lengang tiada kereta lalu lalang. Semua dipaksa berkurung di rumah untuk menghindarkan penyebaran penyakit berjangkit.
Mereka yang belum kahwin terpaksa tinggal bersendirian, tiada peluang untuk bersosial secara fizikal dan hanya bertemankan skrin telefon yang menyala ketika rakan-rakan menghantar pesanan ringkas.
Situasi ini berbeza dengan mereka yang sudah berkahwin; mereka mempunyai teman! Pasangan suami isteri boleh bersosial, boleh melakukan aktiviti kekeluargaan di dalam rumah dan secara umumnya, mempunyai bebanan emosi dan psikologi yang rendah.
Kajian yang dijalankan oleh Sheldon Cohen turut menunjukkan mereka yang bahagia mempunyai tahap kerintangan virus yang sangat tinggi.
Ini bermakna mereka sukar untuk mendapat masalah jangkitan virus berbanding dengan individu yang dihurungi emosi negatif.
Perkahwinan boleh mengawal kadar keradangan di dalam badan (secara tidak langsung), menyelenggara hormon stres dan meningkatkan kualiti tidur anda di malam hari. Semua faktor tersebut menyumbang kepada fungsi sistem imun yang efisien.
4. Tahap kelangsungan hidup yang lebih panjang

Percaya atau tidak, perkahwinan boleh meningkatkan kualiti hidup dan kelangsungan usia.
Perkara ini dibuktikan melalui kajian analisis meta yang diterbitkan dalam laman jurnal PLOS medicine. Perkahwinan mempunyai perkaitan yang kuat dengan kelanjutan usia terutamanya dalam kalangan lelaki.
Antara faktor yang menyumbang kepada kesan positif ini adalah pemantauan tahap kesihatan yang lebih baik, menurunkan kecenderungan untuk seseorang melakukan perkara yang berisiko dan menyumbang kepada kestabilan emosi.
Memang tak dapat dinafikan ada banyak faktor yang boleh memanjangkan usia. Tak juga aku nafikan ia merupakan satu suratan yang telah tertulis di Luf Mahfuz.
Cuma apa guna hidup sampai ke usia 80 tapi menderita penyakit kronik untuk 40 tahun? Apa guna berjalan di atas muka bumi 90 tahun tapi menderita masalah kemurungan untuk 50 tahun?
Nampak tak point di situ. Sebagai pasangan, sematkan dalam diri kita untuk jadi lebih baik dan sentiasa menjadi batu penyokong yang utuh.
Emosi kita ni boleh menyebabkan bermacam-macam perkara. Orang sakit sebab emosi, orang gila sebab emosi dan ada juga yang mati sebab emosi.
Jadi perkahwinan bukan sahaja boleh meningkatkan kelanjutan usia, ia juga boleh meningkatkan kualiti kesihatan.
5. Pengurusan penyakit kronik yang lebih baik

Tak perlu nak cakap lebih kot. Memang saya dah tekankan dalam point saya sebelum ini. Tapi jom kita cuba ubah pemalar. Asyik kencing manis, darah tinggi, gaut. Bosanlah kan? Cuba bayangkan korang ada kanser. Tak kisah kanser apa.
Kajian yang diterbitkan pada tahun 2013 menunjukkan individu yang berkahwin mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk mengatasi atau hidup lebih lama selepas didiagnosis masalah kanser. Dapatan ini sama walaupun faktor lain sudah dilaras seperti usia dan tahap kanser yang dihidap.
Mereka yang berkahwin lebih cenderung untuk patuh dengan rawatan kanser, mengamalkan pemakanan seimbang dan lebih cepat menerima diagnosis kanser berbanding dengan individu yang belum kahwin.
Nampak? Kesan baik dalam situasi yang paling teruk pun berpihak kepada institusi perkahwinan.
Konklusi

Okey, korang kena faham, kelebihan yang aku senaraikan kat atas cuma terpakai sekiranya korang mempunyai hubungan yang sihat bersama pasangan; bukan yang toksik atau perkahwinan yang penuh dengan konflik (sekejap curang sana, curang sini).
Kenapa aku guna terma hubungan yang sihat? Sebab normal untuk pasangan suami isteri mempunyai konflik. Lelaki dan perempuan, walaupun kedua-duanya manusia, mempunyai daya pemikiran dan kestabilan emosi yang berbeza.
Of course waktu mula berkahwin korang akan terkejut dengan sikap dan perangai pasangan masing-masing. Namun kalau konflik yang dihadapi boleh diselesaikan dengan baik tanpa melibatkan pukul memukul, maki memaki, dera mendera; itu yang didefinisikan sebagai hubungan sihat dalam perkahwinan.
Jadi apa yang perlu korang buat kalau korang ada dalam satu hubungan yang toksik? Jangan tanya aku. Tanya diri korang. Sampai bila korang nak bertahan? Atau boleh bertahan. Atau mampu bertahan. Terpulang pada korang. Korang yang mencorakkan hidup sendiri. Kalau rasa nak buat perubahan, jangan takut-takut. Percaya pada diri sendiri.
Artikel ini ditulis khusus untuk Blog Nazri
Artikel ini ditulis untuk mendidik masyarakat tempatan berkenaan dengan topik kesihatan. Ia bukanlah rujukan yang sesuai untuk mendiagnosis. Dapatkan bantuan dari fasiliti kesihatan berdekatan sekiranya anda menghidap gejala penyakit tertentu.