Kena Tahu, Ini Beza Jangkitan HIV Dan Penyakit AIDS

jangkitan hiv

Bukan main-main, stigma yang terpaksa dihadapi oleh pesakit AIDS dan penghidap jangkitan HIV bukan calang-calang. Kebanyakan individu pasti berkerut dahi tatkala mengetahui jika seseorang yang berdiri berdekatan dengan mereka berstatus positif HIV.

Ada yang berbisik-bisik sesama sendiri, menyebarkan stigma, ada juga yang perlahan-lahan melangkah pergi, tidak sanggup berada dekat dengan penghidap HIV. Macamlah HIV berjangkit melalui sentuhan. Atau mungkin mereka merasa jijik?

Itu belum tengok lagi topik hangat yang sering diperbualkan oleh mak cik-mak cik bawang. Antara soalan yang keluar sudah tentunya ‘macam mana dia boleh dapat jangkitan tu?’. Spekulasi, kritikan dan kutukan sebegini boleh memberikan impak negatif terhadap kesihatan mental penghidap HIV.

Pernah tak korang terfikir, kenapa penghidap HIV dan pesakit AIDS dipandang sebegitu hina dalam kalangan masyarakat?

Teruskan membaca.

jangkitan HIV
Gambar direka oleh ImageFX

Apa itu jangkitan HIV?

Korang tahu tak apa beza antara HIV dan AIDS? Kalau korang masih keliru atau was-was, itu bermakna korang tak kenal betul-betul 2 entiti ini. Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta.

HIV adalah singkatan kepada Human Immunodeficiency Virus. Secara ringkasnya, ia adalah sejenis virus yang mempengaruhi fungsi sistem imun sehingga menyebabkan tubuh terdedah kepada pelbagai jenis penyakit berbahaya.

Jangkitan HIV akan menyerang sejenis protein pada permukaan sel darah putih T yang digelar CD4. Protein ini memainkan peranan penting membantu badan melawan jangkitan. Apabila ia musnah diserang oleh virus HIV, sel putih hilang keupayaan untuk melawan jangkitan. Maka sistem imun seseorang itu menjadi lemah.

jangkitan hiv
Gambar direka oleh ImageFX

Lebih teruk lagi, virus ini akan menggunakan sel CD4 yang diserang sebagai kilang penghasilan virus (replikasi). Apabila matang, virus ini akan keluar lalu menyerang sel CD4 yang lain.

Menjawab kepada persoalan mak cik bawang tadi, jangkitan virus kebiasaannya tersebar melalui darah, air mani, cecair faraj, cecair dubur dan susu ibu.

Bila korang baca, mesti korang dapat agak kan kenapa penghidap HIV sering mendapat tohmahan masyarakat? Kebanyakan kes HIV tersebar melalui hubungan seks tanpa perlindungan (kondom dan lain-lain) diikuti oleh penerimaan produk darah tercemar (dalam kes orang HIV yang derma darah) atau anak yang dikandungkan oleh ibu penghidap HIV.

jangkitan hiv
Gambar direka oleh ImageFX

Penyakit AIDS pula apa?

AIDS adalah implikasi jangkitan HIV yang tidak dirawat dengan baik (atau langsung tidak menerima rawatan). Ia merupakan singkatan kepada Acquired Immunodeficiency Syndrome. 

AIDS adalah peringkat terakhir jangkitan HIV. Mereka yang menghidapnya mempunyai sistem imun yang sangat lemah sehingga meningkatkan risiko terhadap jangkitan opportunistic (nak mudah faham, jangkitan pelik-pelik, lain daripada yang kebiasaan) dan dalam segelintir kes, kanser.

Mereka yang didiagnosis dengan penyakit AIDS mempunyai kiraan sel CD4 yang sangat rendah iaitu kurang daripada 200 (nilai normal 500-1500).

Antara jangkitan dan kanser yang sering menghantui pesakit AIDS adalah:

  1. Pneuomocytis pneumonia (jangkitan paru-paru)
  2. Kaposi’s sarcoma (kanser)
  3. Tuberculosis (jangkitan bakteria)
  4. Toxoplasmosis (jangkitan parasit)
  5. Cytomegalovirus (jangkitan virus)
jangkitan HIV
Gambar direka oleh ImageFX

Suatu ketika dahulu, penyakit AIDS dipanggil GRID (Gay related immunodeficiency syndrome) berikutan ia sering didiagnosis dalam kalangan mereka yang menjalinkan hubungan sejenis (lelaki dan lelaki). Laporan perubatan terawal berkaitan GRID diterbitkan pada tahun 1981 oleh Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit berkenaan dengan 5 orang lelaki homoseksual yang menghidap penyakit paru-paru teruk.

Kajian dijalankan dan pada tahun 1984, virus HIV telah dikenalpasti. Nama virus itu sendiri ditukar kepada HIV berikutan cara penyebaran melalui darah (penerimaan darah tercemar dan anak yang dikandungkan ibu penghidap HIV).

Jika korang berminat hendak mengetahui perkembangan jangkitan virus ini sejak 1980 sehingga kini, klik sini.

Status HIV masih dianggap pandemik sejak 1981 sehingga ke hari ini. Ia telah meragut kira-kira 40 juta nyawa dan menjangkiti lebih daripad 50 juta individu di seluruh dunia.

jangkitan hiv
Gambar direka oleh ImageFX

Simptom jangkitan HIV

Sama seperti jangkitan virus yang lain, gejala jangkitan HIV tidak begiitu spesifik. Ia terbahagi kepada 3 fasa utama namun bukan semua penghidap HIV akan melalui kesemua fasa.

Ada yang didiagnosis semasa fasa akhir, ada yang tidak melalui fasa akhir dan sebagainya.

  1. Fasa jangkitan HIV akut: Berlaku kira-kira 2 hingga 4 minggu selepas pendedahan kepada virus. HIV memerlukan masa untuk melalui proses replikasi. Tatkala jangkitan berada di kemuncak, seseorang itu akan mengalami simptom jangkitan virus seperti demam, bengkak kelenjar, sakit tekak, ruam dan sakit badan. Pada ketika ini, seseorang itu mempunyai beban virus yang tinggi dan mudah menjangkiti individu lain.
  2. Fasa jangkitan HIV kronik: Selepas melalui fasa akut, penghidap jangkitan HIV akan berasa sihat. Pada ketika ini, replikasi virus berlaku pada kadar yang perlahan. Individu itu masih boleh menjangkiti orang lain. Tetapi mereka tidak menunjukkan sebarang simptom. Fasa ini boleh berlangsung sehingga bertahun-tahun lamanya.
  3. Fasa AIDS: Jika tidak dirawat, jumlah sel CD4 di dalam badan akan berada pada paras yang sangat rendah sehingga menyebabkan penghidap mudah mendapat jangkitan serius.
jangkitan virus
Gambar direka oleh ImageFX

Diagnosis dan rawatan

Terdapat pelbagai cara yang boleh digunakan untuk mengesan jangkitan HIV. Malah kini, teknologi perubatan semakin maju sehingga membolehkan kita untuk menguji darah menggunakan kit antibodi sama seperti ujian virus lain (influenza, denggi dan COVID-19). Keputusan akan keluar dalam masa beberapa minit sahaja.

Ujian jangkitan HIV direka khusus untuk mengesan 3 perkara:

  1. Antibodi kepada HIV
  2. Antigen (protein yang terdapat pada virus itu dikenali sebagai p24)
  3. Bahan genetik virus (RNA) untuk mengetahui beban jangkitan HIV

AIDS pula didiagnosis apabila terdapat aspek seperti yang berikut:

  1. Kiraan CD4 di bawah 200 sel/mm³
  2. Menghidap jangkitan opportunistic
  3. Sejarah perubatan dan simptom klinikal jangkitan HIV

Secara umumnya, apabila seseorang itu disahkan menghidap jangkitan HIV, rawatan akan dimulakan serta-merta. Modal utama adalah sejenis ubat yang digelar HAART (Highly Active Antiretroviral Therapy).

Ubat ini berupaya untuk:

  1. Menghalang proses replikasi jangkitan HIV
  2. Meningkatkan kiraan sel CD4
  3. Menurunkan risiko penyebaran
  4. Melambatkan atau menghindarkan penyakit AIDS
jangkitan HIV
Gambar direka oleh ImageFX

Aku ingat dulu, orang pernah cakap mereka yang menghidap jangkitan HIV pasti akan mendapat AIDS. Cuma cepat atau lambat sahaja.

Pernyataan itu tak salah. Memang aku tak nafikan AIDS adalah implikasi yang tak dapat dielakkan oleh pesakit HIV. Namun, ubat HAART boleh mengawal beban virus dan meningkatkan kekuatan fungsi sistem imun.

Jika patuh kepada ubat, mereka yang hidap jangkitan HIV boleh hidup sihat, sama seperti individu lain. Malah, risiko jangkitan boleh jadi hampir 0% jika beban virus HIV mereka tidak dapat dikesan oleh mesin. Ini bermakna pesakit HIV boleh menjalani kehidupan seksual yang sihat dan turut boleh memiliki zuriat bebas HIV.

Cuma biasalah kan, apabila seseorang itu ada HIV, stigma menghalang individu lain untuk melihat dengan jelas. Kita dikaburi dengan ketakutan dek kealpaan kita sendiri. Kita takut benda yang kita tak fahami.

Bagaimana pula dengan mereka yang menghidap AIDS? Ada ke harapan untuk mereka?

Untuk segelintir masih ada. Untuk mereka yang menghidap jangkitan teruk atau kanser peringkat akhir, penjagaan adalah bersifat paliatif. Ini bermakna rawatan hanya diberikan untuk memastikan pesakit lebih selesa sementara menunggu ajal.

Jadi, rawatan bagi pesakit AIDS adalah:

  1. Memulakan atau meneruskan rejimen rawatan HAART
  2. Merawat jangkitan opportunistic menggunakan antibiotik, antiparasit atau antiviral (bergantung kepada ujian darah)
  3. Memberikan sokongan nutrisi seperti terapi intravena dan sebagainya.
  4. Penjagaan paliatif untuk kes kronik.
jangkitan hiv
Gambar direka oleh ImageFX

Konklusi

Rawatan awal sangat penting dalam pengurusan jangkitan HIV. Dalam dunia yang dipegang oleh media sosial ini, aku faham, mungkin kita takut nak buat ujian HIV sebab takut akan stigma. Jadi, langkah kerajaan mewajibkan ujian HIV untuk pasangan yang ingin berkahwin merupakan 1 langkah yang tepat.

Apa pun perkara yang menjurus kepada jangkitan HIV tidak lagi penting. Jika ia merupakan insiden, anggap sahaja ia satu ujian. Jika ia merupakan satu dosa, anggap sahaja ia satu pengajaran, ujian dan teguran daripada yang Maha Esa.

Penting untuk kita semua faham, jangkitan HIV tidak seperti dahulu. Kita mungkin belum menemukan cara yang definitif untuk menghapuskannya, namun kajian perubatan telah membolehkan pesakit HIV untuk turut menjalani kehidupan secara sihat.

Beberapa langkah boleh diambil untuk meminimumkan risiko penyebaran. Antaranya:

  1. Mengamalkan hubungan seksual yang selamat (menggunakan kondom, mengurangkan jumlah pasangan seksual). Untuk yang homoseksual, suka untuk aku beri teguran, berhentilah daripada mengamalkan hubungan sejenis. Ungkapan ‘Love wins” tak terpakai secara alami. Tak kiralah korang agama apa, homoseksual itu sendiri melawan fitrah.
  2. Bagi yang berisiko tinggi, sebagai contoh, isteri yang ingin menjalinkan hubungan seks dengan suami yang menghidap jangkitan HIV, boleh gunakan ubat HAART. Jumpa doktor dahulu dan bincang ya.
  3. Bagi mereka yang terdedah kepada potensi jangkitan, sebagai contoh mereka yang menjalinkan hubungan seks dengan pesakit yang baru diketahui status HIV positif, pekerja kesihatan yang tercucuk jarum yang baru sahaja digunakan pada pesakit HIV, ubat HAART boleh diambil mengikut arahan.
  4. Menyertai program untuk menurunkan risiko jangkitan (seperti program pertukaran jarum).
  5. Patuh dan mengambil ubat HAART bagi ibu mengandung mengikut arahan doktor untuk mengelakkan penyebaran kepada janin.

Artikel ini ditulis khusus untuk Blog Nazri 

Artikel ini ditulis untuk mendidik masyarakat tempatan berkenaan dengan topik kesihatan. Ia bukanlah rujukan yang sesuai untuk mendiagnosis. Dapatkan bantuan dari fasiliti kesihatan berdekatan sekiranya anda menghidap gejala penyakit tertentu.

Nazri Zulkafli

blogger fakta/fiksyen

Doktor Kesihatan dan Penulis separuh masa. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perubatan Dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan menamatkan latihan perubatan (Housemanship) di Hospital Putrajaya pada tahun 2023

Nazri Zulkafli

Popular
Menarik

Ruang Iklan

Berminat hendak menempah ruang iklan ini?
Teroka
Iklan

Artikel Lain

Dapatkan tips dan fakta menarik

Langgan servis e-mel percuma