Jom kita cerita sikit pasal burung gagak. Bagi aku, burung gagak ni agak menarik berikutan keterlibatannya dalam mitos dan simbolisme. Kaitannya dengan kematian, unsur-unsur gelap dan kejahatan membuatkan makhluk ni menjadi salah satu elemen alam yang sering diterapkan dalam penceritaan.
Dalam dunia nyata, mungkin ramai yang tak berminat dengan burung ni. Mereka merupakan pemakan bangkai, sering berlegar-legar di kawasan pembuangan sampah dan secara umumnya, agak menjengkelkan. Ada macam vibe creepy sikit bila ternampak burung ni merayap di celah timbunan sampah/bangkai.
Waima tanggapan kita terhadap gagak sering menjurus ke arah perkara-perkara negatif (jahat, licik, gelap, misteri), tahap kebijaksanaan yang dimiliki oleh burung ini bukan calang-calang. Malah kajian menunjukkan kepandaian mereka mungkin setaraf dengan spesis beruk.
Menarik, kan?
Okey, mungkin penulisan aku ni nampak macam rawak, tapi biar aku berterus terang. Aku sebenarnya dah lama nak tulis satu kisah fiksyen berkaitan dengan burung gagak.
Aku rasa burung ni mempunyai kualiti yang unik, tidak dimiliki oleh mana-mana makhluk yang lain. Licik, cerdik, tampak jahat, misteri, pandai menyimpan dendam; semua ciri-ciri ini bergabung dalam satu susuk yang pada pandangan aku, boleh digunapakai dalam penulisan untuk mencerminkan karakter protagonis/antagonis.
Jujur aku cakap, idea aku ni bukannya unik. Dalam tempoh beberapa dekad ni banyak juga filem dan drama yang mengadaptasi burung gagak. Walau bagaimanapun, aku rasa implikasi karya dan penghayatannya tak setimpal dengan latar belakang dan keunikan burung gagak tu sendiri.
Jom kita tengok beberapa contoh.
Gagak di Persada Antarabangsa

Dalam filem Hollywood The Crow yang diterbitkan pada tahun 1994, seorang lelaki yang dibunuh secara kejam telah dibangkitkan oleh seekor gagak mistik. Tujuannya adalah untuk memberi peluang kepada lelaki tersebut membalas dendam terhadap pelaku yang bukan sahaja membunuhnya malah merogol dan membunuh tunangnya.
Selain mempunyai plot penceritaan yang menarik, filem ini juga melakar sejarah hitam apabila pelakon utama yang merupakan anak kepada pelakon lagenda Bruce Lee, Brandon Lee, telah terkorban di set penggambaran.
Puncanya adalah prop lakonan yang berupa pistol tidak diperiksa dengan baik. Peluru dummy telah ditembak dengan kelajuan serupa peluru hidup menyebabkan beliau mengalami kecederaan parah pada bahagian abdomen.
6 jam selepas beliau ditembak, Brandon Lee menghembuskan nafas terakhir dan babak-babak lain di dalam filem telah dilakonkan oleh pelakon aksi.
Okey macam lari sikit daripada topik tapi ramai yang mengingati filem The Crow disebabkan oleh tragedi yang menimpa Brandon Lee. Gagak itu sendiri hanya diketengahkan sebagai watak sampingan dan peranannya adalah untuk menghidupkan karakter protagonis yang sarat dengan dendam kesumat.
Filem ini berjaya meraih 94 juta dolar Amerika dan melahirkan beberapa sekuel dan perfileman semula pada tahun 2024.
Selain The Crow, filem The Raven yang diterbitkan pada tahun 2012 turut menggunakan burung gagak bagi menggambarkan nuansa sedih, rasa kehilangan dan kematian.
Jalan penceritaannya memfokuskan kepada seorang pembunuh bersiri licik yang menggunakan karya seorang penulis terkenal untuk membunuh. Rasa amarah dan sesal yang membendung membuatkan penulis itu kemudiannya membantu pihak polis untuk menyelesaikan misteri tersebut.
Premisnya menarik namun filemnya tidak mencapai taraf blockbuster. Tambahan pula, filem The Raven hanya menggunakan burung gagak sebagai satu bentuk simbol dan tidak melibatkannya secara langsung.
Contoh yang lain, filem The Birds yang diterbitkan pada tahun 1963 oleh Alfred Hitchcock, pengarah filem terkenal pada ketika itu. Beliau menggunakan burung sebagai elemen alam yang berupaya membuat kekacauan sehingga menimbulkan nuansa ngeri.
Burung gagak merupakan salah satu daripada beberapa spesis burung lain yang turut membuat kekacauan sehingga menimbulkan keadaan huru hara di sebuah bandar kecil di California. Walaupun bukan antagonis utama, ia bersama burung-burung yang lain memainkan peranan penting dalam mewujudkan suasana ngeri yang melanda. Siapa sangka makhluk berpelepah ini boleh bersatu dan memerangi manusia.
Jika anda pernah menonton siri bertajuk Game of Thrones, anda pasti mengetahui tentang individu yang bergelar three-eyed raven. Brandon Stark yang telah mengambil alih peranan tersebut mempunyai kebolehan untuk meramal masa hadapan dan mengimbau semula masa lampau.
Konsep gagak bermata tiga itu ditonjolkan sebagai satu peranan yang berkait rapat dengan aksi paranormal dan simbol kebijaksanaan. Perang di antara manusia dan white walker tidak mungkin akan berjaya tanpa penglibatan gagak bermata tiga terutamanya dalam fasa persediaan.
Cukup dah kot?
Banyak lagi tajuk filem dan siri yang menerapkan konsep yang hampir sama. Filem-filem yang tersenarai di atas menggunakan burung gagak sebagai elemen mistik untuk mengambarkan satu keadaan yang kacau bilau.
Penglibatan burung berpelepah hitam itu dilihat agak meluas dalam sektor perfileman dan memang tidak dapat aku nafikan kepentingannya sebagai salah satu simbol dalam karya kesusasteraan klasik dan moden barat.
Bagaiman pula dengan Malaysia?
Adakah gagak sering digunakan dalam pembikinan filem memandangkan produksi di Malaysia giat menerbitkan filem seram?
Bukan Fokus Utama

Berbeza dengan negara luar, naratif penduduk tempatan di Malaysia tidak banyak berpaksi kepada burung gagak. Burung gagak dilihat sebagai pemakan bangkai, haiwan yang sering disisihkan dan secara umumnya haiwan yang hodoh dan kotor.
Lihat sahajalah bagaimana makhluk hitam ini digambarkan dalam peribahasa melayu:
- Gagak dimandikan tujuh kali sehari pun, takkan putih bulunya – Orang jahat jika diberi kesenangan, akan tetap berbuat jahat jika ada kesempatan.
- Gagak bersuara murai – Rupa hodoh namun suara merdu dan baik budi bahasa
- Bagai gagak menggonggong telur – Perempuan hodoh berpakaian cantik
Sepertimana yang kita ketahui, peribahasa adalah bukti nyata bahawa bangsa melayu peka akan keadaan di sekeliling. Nasihat, teguran, sindiran; pelbagai perkara boleh dipelajari daripada kebijaksanaan orang terdahulu melalui bidalan, simpulan bahasa, perumpamaan dan sudah tentunya, peribahasa.
Malah, terdapat juga peribahasa yang mempunyai konteks saintifik sehingga menarik perhatian pengkaji untuk mengetahui bagaimana orang zaman dahulu, tanpa pengetahuan sains moden boleh merungkaikan rahsia alam dengan hanya memerhati. Genius!
Penggunaan burung gagak untuk menggambarkan personaliti buruk dan rupa paras hodoh adalah berdasarkan pemerhatian nenek moyang kita terhadap makhluk itu dan interaksinya dengan alam.
Rupa paras hitam/gelap sememangnya jarang menjadi tarikan utama. Tak dapat dinafikan, sesetengah benda nampak begitu elegan apabila ia berwarna hitam, namun bukan burung gagak. Dalam dunia haiwan, makhluk berpelepah hitam itu sering dibandingkan dengan spesis burung yang lebih cantik seperti burung merak, merpati, nuri dan sebagainya. Keadaan ini tampak bercanggah dengan pepatah Inggeris beauty is subjective atau beauty is in the eye of the beholder.
Selain itu, kecenderungan gagak sebagai pemakan bangkai turut memberikan tanggapan negatif terhadap keperibadian karakter itu sendiri. Dengan kata lain, walaupun burung ini mempunyai kualiti yang dianggap menarik dalam kalangan saintis, ia tidak mempunyai tempat di dalam hati masyarakat tempatan.
Peranan gagak juga dianggap tidak begitu signifikan dalam dunia mistik alam melayu. Secara umumnya, dunia melayu berputar pada paksi makhluk halus seperti langsuir, pontianak, toyol dan penanggal. Penghuni alam ghaib yang sebeginilah sering mendapat perhatian. Ia merupakan pemain utama dalam mewujudkan nuansa seram.
Pun begitu, jika ditanya pada individu secara peribadi, elemen seperti kematian, roh jahat, perbuatan sihir dan ilmu hitam masih lagi boleh dikaitkan dengan gagak. Warisan kepercayaan turun temurun yang disebarkan melalui lisan banyak menghembus cerita, mitos dan kaitan burung berpelepah hitam itu dengan elemen gelap.
Siapa sangka, suatu ketika dahulu, nenek moyang kita percaya kehadiran gagak boleh membawa petanda akan kematian seseorang.
Terbang tinggi di angkasa, mata hitam gagak berupaya untuk menangkap jerih roh yang sedang menahan sakit di ambang kematian. Terbang jasad hitam itu mengelilingi rumah lalu hinggap di atas bumbung sambil kotak suara melontarkan jeritan kuat seolah-olah sedang mengumumkan pemergian seseorang dari bumi fana. Atau jeritan itu ditujukan khas untuk mengalukan kehadiran roh ke alam baqa, kehidupan selepas kematian?
Pada zaman itu, ajaran Islam mungkin belum pun singgah lagi di tanah melayu atau pun ia merupakan saki baki kepercayaan animisme yang pernah menjadi pegangan utama suatu ketika dahulu. Meskipun perkara itu sudah mulai pudar dalam pengetahuan masyarakat, masih ada segelintir yang mengetahuinya.
Malah jika ada babak gagak menjerit di atas bumbung rumah orang mati dalam filem, pasti terlintas dalam kepala penonton akan perkara ini walaupun ia tidak lagi dipercayai terutamanya oleh penganut agama Islam. Tanyalah pada sesiapa pun. Mereka mungkin mengetahuinya, namun tidak mempercayainya. Terlalu karut untuk mengaitkan fenomena gagak hinggap dengan kebarangkalian seseorang akan mati. Perkataan “kebetulan” sering kali digunakan untuk mematikan hujah.
Gagak pandai berdendam?

Satu fakta yang sukar untuk aku terima adalah haiwan, makhluk yang tidak berakal boleh berdendam. Entah kenapa aku susah nak terima, aku pun pelik.
Gagak bukanlah satu-satunya burung yang cerdik. Terdapat banyak lagi burung yang mempunyai tahap kebijaksanaan yang menakjubkan. Namun tiada yang sehebat gagak.
Jika dilihat dalam konteks kajian saintifik, burung gagak mempunyai keunikan yang tersendiri. Kebolehan kognitif ditambah pula dengan kelakuan kompleks membuatkan para saintis berfikir, sejauh manakah makhluk ini mampu mempamerkan keunikannya.
Kajian oleh Profesor John Marzluff, seorang saintis dari Universiti Washington pada tahun 2006 telah mempamerkan keunikan tersebut. Gagak sememangnya boleh menyimpan dendam. Apa yang lebih mengejutkan adalah burung berpelepah hitam itu boleh berdendam sehingga 17 tahun lamanya.
Tujuan utama eksperimen itu adalah untuk menguji kekuatan memori gagak yang sering diuar-uarkan sebagai burung tercerdik di dunia. Gagak mempunyai nisbah berat badan dan berat otak yang hampir sama dengan spesis beruk. Perkara ini boleh memberi implikasi bahawa gagak mempunyai tahap kecerdikan yang tinggi.
Marzluff dan pengkaji-pengkaji yang lain telah menangkap 7 ekor gagak menggunakan jaring sambil memakai topeng berukiran syaitan. Tujuannya adalah untuk mengelakkan gagak daripada mengingati wajah pengkaji yang berbeza-beza. Takut keliru pulak gagak tu nanti.
Setiap gagak tersebut akan ditanda dengan marker berwarna lalu dilepaskan semula. Kegiatan itu dijalankan 3 kali pada waktu yang berbeza. Pada hari-hari seterusnya, Marzluff mengarahkan anak-anak buahnya untuk menjejak gagak-gagak yang telah ditanda untuk menguji kekuatan memorinya. Ingatan terhadap manusia bertopeng syaitan yang menangkap mereka menggunakan jaring. Satu trauma yang menakutkan.
Selama pengkaji bertopeng syaitan menjumpai dan cuba menghampiri sekawan gagak bertanda, reaksi yang ditonjolkan amat mengejutkan. Mereka akan mengibas sayap mereka sebagai tanda protes, mengeluarkan bunyi yang sangat bising dan ada dalam kalangan pengkaji yang hampir dipatuk oleh gagak tersebut.
Tindak balas agresif ini berlarutan sehingga bertahun-tahun lamanya (17 tahun mengikut konklusi kajian). Ia membuktikan burung gagak mempunyai kekuatan memori jangka panjang yang sangat menakjubkan.
Kajian ini turut menekankan kepentingan berbuat baik kepada haiwan di sekeliling kita. Selain mempunyai perasaan, mereka juga boleh mengalami trauma. Kucing yang disiksa akan menjadi agresif walau dengan manusia lain. Anjing yang ditinggalkan semasa kecil akan menjadi gemuruh jika tuan baharu mereka mahu bergerak ke luar. Kepercayaan yang dihulurkan oleh mereka tidak sepatutnya dikhianati.
Tuntas
Projek yang akan aku laksanakan adalah sebuah cerita fiksyen bertemakan burung gagak sebagai antagonis. Bukan satu konsep yang asing, namun ia mempunyai jalan penceritaan dan keunikan berbeza. Aku tidak akan menggunakannya dalam konteks seram, tetapi lebih berunsur debaran aksi dan mempunyai perkaitan dengan pengetahuan mental. Aku tahu mungkin sukar untuk korang hadam. Apa kaitan burung gagak dan pengetahuan mental? Nantikan sahaja. Semoga projek ini berjaya aku laksanakan sebelum penutup 2025.
Artikel ini ditulis khusus untuk blog Nazri