Gajah Ratapi Kematian Anak, Ini 5 Bukti Haiwan Liar Miliki Perasaan

haiwan liar

Haiwan liar miliki perasaan. Itu bukan sekadar fakta malah dianggap common sense. Satu pengetahuan, pendapat atau citarasa yang turut dipersetujui oleh majoriti penduduk bumi. Satu bentuk pengiktirafan di peringkat global.

Baru-baru ini, gempar 1 isu yang menyayat hati apabila seekor anak gajah jantan maut digilis sebuah lori muatan ayam. Kejadian berlaku di Kilometer 80 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik Jeli pada awal pagi 11/5/25.

Hari yang seharusnya istimewa buat sang ibu merentas spesis berubah tragedi. Menerusi beberapa rakaman di media sosial, kelihatan ibu gajah sedang berusaha menolak kepala lori dengan segala kudrat yang ada untuk mendapatkan anaknya yang digilis.

Naluri haiwan liar itu masih percaya bahawa anaknya masih hidup. Walau kekuatannya tidak mampu mengalihkan lori itu, dirinya masih berusaha. Sekurang-kurangnya jika dia mampu mengalihkan sedikit kedudukan lori itu, anaknya pasti boleh menyelinap keluar. Namun tanggapn itu hanya kekal tanggapan. Tubuh anaknya tidak bergerak. Turun naik perutnya sudah lama terhenti.

Sampai satu masa ibu gajah tidak berdaya lagi hendak mengerahkan kudrat sambil melawan kecelaruan emosi lalu dia terhenti. Mata kuyu merenung tubuh anaknya yang sudah tidak lagi bernyawa lalu dunianya serta-merta menjadi sepi. Deruman enjin kereta di sekeliling tidak lagi didengarinya, hanya sepi yang membungkam.

Momen menyayat hati yang disaksikan oleh beberapa pengguna jalan raya tidak terhenti di situ sahaja. Ibu gajah tersebut tidak mahu berganjak dan hanya menyandarkan kepalanya lemah pada kepala lori tersebut. Pihak penguatkuasa terpaksa memberikan ubat penenang bagi menghindarkan kelakuan agresif yang boleh mengancam nyawa.

Meskipun ibu gajah itu tahu anaknya sudah tiada, dia masih berdiri di situ. Meratapi pemergian anaknya yang sudah disambut Sang Pencipta. Kejadian inilah bukti nyata bahawa haiwan turut miliki perasaan, sama seperti kita.

Mereka turut gembira, kecewa, takut, bersedih dan meratapi pemergian ahli keluarga. Apa yang lebih menakjubkan naluri keibuan yang ditonjolkan oleh sang ibu meruntunkan jiwa. Sama seperti ibu manusia yang kehilangan anak, ibu gajah turut dihurung kesedihan.

Jika anda turut berada di situ, menjadi saksi kepada peristiwa tersebut dan masih tidak percaya haiwan liar turut miliki perasaan, anda buta. Sama ada buta mata atau buta hati.

Artikel ini akan mengupas perkaitan emosi dan apa bukti yang menunjukkan haiwan, makhluk yang pernah dianggap sebagai automata oleh ahli falsafah barat, turut mempunyai perasaan seperti manusia.

Haiwan liar, mesin yang tidak miliki perasaan

haiwan liar
Gambar oleh Pixabay

Hampir 5 abad yang lepas, pengetahuan dan pandangan yang diiktiraf oleh masyarakat di seluruh dunia berkaitan haiwan liar dan emosi adalah sangat berbeza dengan masa kini. Mereka percaya haiwan liar umpama sebuah mesin yang boleh bergerak bebas. Pendapat ini dipengaruhi oleh teori yang dikemukakan ahli-ahli falsafah terkenal pada ketika itu, antara yang paling prolifik, René Descartes.

Menurutnya haiwan liar adalah jasad yang tidak mempunyai emosi dan kesedaran seperti manusia. Setiap pergerakan, tindak tanduk dan refleks hanya terjadi sebagai tindak balas kepada rangsangan luar (external stimuli). Haiwan liar dianggap sebagai satu automata, mesin yang dioperasi oleh dirinya sendiri dan mempunyai kehendak bebas (free will).

Melalui kefahaman tersebut, manusia giat menggunakan haiwan sebagai subjek eksperimen tanpa rasa belas kasihan, menghambakan mereka untuk membuat perkerjaan berat dan ada juga yang digunakan untuk tujuan hiburan semata-mata.

Penderaan haiwan berlaku secara meluas dan hak haiwan hanyalah satu ilusi dibicarakan oleh orang gila.

Pada abad ke 20, segalanya mula berubah. Jane Goodall, seorang ahli etologi (cabang sains yang mengkaji kelakuan haiwan liar) telah meluangkan masa bertahun-tahun mengkaji cimpanzi di Taman Negara Gombe, Tanzania.

Pelbagai reaksi dan kelakuan harian telah direkodkan oleh Goodall sepanjang penglibatannya dalam komuniti cimpanzi. Pada ketika kajian tersebut dijalankan, majoriti kepercayaan masyarakat barat dipelopori oleh idea bahawa haiwan dan manusia mempunyai perbezaan tinggi melangit (human exceptionalism).

Manusia mempunyai otak yang geliga dan emosi kompleks manakala haiwan pula tidak sepandai manusia dan tidak memiliki emosi. Menerusi kepercayaan itu juga mereka percaya bahawa kebolehan manusia adalah tidak terbatas, tiada undang-undang alam yang terpakai pada manusia dan secara umumnya merupakan makhluk paling unik di seluruh alam semesta.

haiwan liar
Gambar oleh Pixabay

Emosi yang dimiliki oleh manusia sering dianggap sebagai satu titik istimewa sehingga ada yang mengatakan ciri-ciri tersebut yang membezakan spesis manusia dengan haiwan. Haiwan tidak memiliki empati dan tidak berupaya untuk menonjolkan emosi.

Pun begitu, dapatan kajian yang direkodkan oleh saintis-saintis seperti Goodall ternyata bercanggah dan mengejutkan dunia! Antara bukti emosi yang disaksikan oleh Goodall sepanjang beliau menyertai komuniti cimpanzi adalah seperti berikut:

  1. Kasih sayang. Cimpanzi sangat menyayangi anak. Ibu cimpanzi kerap kali memeluk anaknya, bermain dengan mereka, menghias dan mengawasi mereka daripada sebarang bahaya. Keakraban dan emosi yang ditonjolkan oleh ibu dan anak cimpanzi hampir sama dengan manusia. Naluri keibuan wujud dalam diri mereka dan seperti manusia, sang ibu sanggup mengorbankan nyawa untuk menyelamatkan anak.
  2. Empati. Bukan manusia sahaja yang mengalami stres atau sebarang emosi negatif seperti rasa sedih dan kecewa. Cimpanzi dan spesis haiwan liar lain turut merasainya. Apa yang disaksikan oleh Goodall dianggap satu pembuktian akan fakta tersebut. Cimpanzi yang usai bergaduh atau baru sahaja mengalami insiden yang menakutkan akan dipeluk, disokong dan dipujuk oleh cimpanzi lain. Seolah-olah mereka sedang cuba untuk menaikkan semangat cimpanzi terbabit supaya jangan berputus asa. Hidup perlu diteruskan, bro!
  3. Takut dan gementar. Goodall menyaksikan kelakuan yang boleh dikaitkan dengan emosi takut dan gentar semasa cimpanzi terlibat dalam konflik atau menyedari akan kehadiran haiwan pemangsa. Mereka akan menggunakan bahasa tubuh, menjerit seakan histeria, berlari ke sana-sini sebagai tanda protes atau cuba memberi amaran kepada cimpanzi yang lain. Sama seperti manusia, walaupun mereka ketakutan, mereka turut memikirkan tentang nasib keluarga atau kumpulan mereka. Cimpanzi yang sedang ketakutan tidak akan lari berseorangan. Dia akan membawa keluarganya sekali seraya memberi amaran kepada ahli komuniti yang lain.
  4. Gembira dan nakal. Percaya atau tidak, sama seperti manusia, cimpanzi turut berkelakuan nakal dan boleh tertawa dengan gelagat masing-masing. Mereka akan kejar-mengejar antara satu sama lain, mengeluarkan bunyi yang menandakan mereka gembira serta mempamerkan senyuman.
  5. Meratap dan rasa sedih. Semasa Goodall baru sahaja menyertai komuniti, seekor cimpanzi bernama Flint telah dilahirkan oleh ibunya bernama Flo. Hubungan mereka anak beranak sangat rapat. Flo akan membawa Flint ke mana sahaja dia pergi dan menjaganya dengan penuh kasih sayang. Namun selepas kematian ibunya, Flint dihurung kesedihan dan mula menunjukkan tanda-tanda kemurungan melampau. Dia tidak mahu makan, menjadi sangat lemah dan akhirnya mati akibat kebuluran.

Kajian lain berkaitan emosi haiwan liar

haiwan liar
Gambar oleh Pixabay

Kajian yang dibuat oleh Goodall tidak hanya tertumpu kepada cimpanzi. Pun begitu, beliau memang terkenal dengan eksperimen yang dijalankan untuk mengkaji tingkah laku cimpanzi berbanding dengan haiwan liar lain. Malah, kebanyakan kajian-kajian beliau yang diterbitkan di laman jurnal antarabangsa berkisar tentang eksperimennya bersama dengan komuniti cimpanzi.

Kefahaman masyarakat barat dan di seluruh dunia berkaitan dengan emosi haiwan mula meningkat pada penghujung abad ke 20 (tahun 1970 dan ke atas). Gerakan-gerakan yang memperjuangkan hak asasi haiwan liar mula tumbuh bak cendawan di seluruh pelosok bumi. Ahli-ahli falsafah dan akademik mula mempersoalkan layanan buruk manusia terhadap haiwan sedangkan makhluk yang pernah digelar automata itu memiliki perasaan.

Haiwan liar turut merasa kesakitan dipukul, kesedihan setelah didera (emosi, fizikal) dan meratapi kematian ahli keluarganya, sama seperti manusia. Berikutan itu, pelbagai kajian mula menyusul, kebanyakannya mengaitkan hubungan di antara emosi dan haiwan liar. Haiwan lain turut dikaji sama ada mamalia, reptilia, ikan dan sebagainya. Apa yang mengejutkan adalah kesemuanya mempunyai pemetaan emosi dan perasaan yang sangat kompleks.

Kajian neurologi mendapati haiwan liar mamalia mempunyai struktur otak yang hampir serupa dengan manusia. Mereka turut mempunyai amigdala dan sistem limbik di dalam otak; dua struktur yang penting dalam pemprosesan emosi. Emosi dianggap sebagai aspek penting dalam konsep kehendak bebas (free will) yang memacu kepelbagaian dalam tingkah laku hidupan di atas muka bumi ini.

Malah kebanyakan kajian tingkah laku dalam kalangan haiwan liar pelbagai spesis seperti anjing, gajah, burung dan sotong turut menunjukkan tindak balas yang hanya boleh difahami dengan kehadiran pemalar emosi.

Contoh? Ada beberapa.

Anjing sangat terkenal dalam kalangan manusia sebagai haiwan yang sangat cerdik. Tidak kira jika ia haiwan liar atau anjing yang dipelihara sejak kecil, kedua-duanya menunjukkan tahap kecerdikan yang menakjubkan.

Mereka bukan sahaja boleh menunjukkan emosi terhadap sesuatu perkara, mereka juga berupaya untuk mengesan emosi manusia melalui bacaan riak wajah dan tingkah laku yang dianggap kompleks. Terdapat banyak video di laman sosial yang menunjukkan kebolehan anjing untuk berempati. Malah mereka turut bersedih sekiranya tuan mereka bersedih. Tak kurang juga ada anjing yang menunjukkan reaksi cemburu apabila tuan mereka memberi perhatian kepada haiwan lain. Perkara ini hanya boleh difahami jika kita beranggapan anjing mempunyai emosi.

gajah
Gambar oleh Pixabay

Gajah memiliki sistem emosi yang agak kompleks. Mereka direkodkan mempunyai hubungan kekeluargaan yang sangat utuh, cenderung untuk meratapi kematian ahli keluarga dalam satu kawanan yang sama dan secara ritual, sering dilihat mengusap tubuh gajah yang telah mati sebagai tanda penghormatan. Mayat itu akan diziarahi setiap hari sehingga bangkai mungkin sudah tinggal tulang belulang.

Keakraban yang ditonjolkan oleh mereka bertahan sehingga ke akhir hayat. Jika mereka terpisah dan bersua semula (reunion), mereka akan menunjukkkan keterujaan dengan cara mengeluarkan bunyi kuat melalui belalai dan menjalinkan interaksi fizikal. Dalam konteks manusia, ia sama seperti tingkah laku kita berpelukan, bersalaman atau mencium pipi rakan lama ketika berjumpa.

Jika anda masih ingat, saya pernah menulis artikel yang menerangkan perihal kecerdikan burung gagak. Gagak adalah spesis burung tercerdik di dunia dan ia sarat dengan emosi. Jika ia dilayan dengan buruk, kelak gagak akan mengelak daripada bersua atau menyerang manusia yang menyakitinya. Gagak boleh menyimpan dendam sehingga 17 tahun lamanya dan kebolehan ini menunjukkan mereka mempunyai kekuatan memori yang sangat kuat disokong oleh perkembangan emosi.

Bagaimana pula dengan spesis burung lain? Takkan gagak je yang ada emosi?

Sama seperti gagak, burung lain turut menonjolkan emosi ketika menghadapi situasi tertentu. Burung nuri boleh menunjukkan kekecewaan dan menjerit geram sekiranya tidak mendapat apa yang diingini (sebagai contoh, makanan yang terlalu jauh hendak dicapai).

Burung kakak tua boleh menunjukkan ekspresi malu tatkala pipi mereka berubah ke warna merah. Burung rosella meratapi pemergian sahabat dan ahli keluarganya yang telah mati dengan cara menemani bangkai mereka berhari-hari lamanya. Dalam tempoh tersebut, mereka turut mengeluarkan bunyi berbaur sedih (jangan tanya saya bagaimana rupa bunyi itu, saya tidak pasti).

Haiwan liar bukan mamalia pula? Mereka turut memiliki emosi.

Sebagai contoh sotong yang tidak bertulang belakang. Sotong mempunyai otak yang besar jika dibandingkan dengan tubuhnya. Sistem tubuhnya disokong oleh jaringan saraf yang efisien sehingga ia boleh menunjukkan kelakuan yang dipacu oleh emosi.

Mereka boleh bermain, menggunakan peralatan ringkas dan berupaya untuk menukarkan warna kulit (kusam atau terang) mengikut mood mereka.

Tuntas

haiwan liar
Gambar oleh Pixabay

Manusia bukan satu-satunya makhluk yang mempunyai emosi, haiwan liar turut memilikinya. Bahkan ada segelintir negara di seantero dunia yang mempunyai akta pelindungan terhadap haiwan-haiwan liar dalam sistem perundangan mereka. Ia bertujuan untuk melindungi haiwan tersebut daripada perbuatan tidak bermoral, pemburuan melampau dan menjadi mangsa kepada sebarang aktiviti yang boleh mendatangkan kemudaratan dan kesakitan.

Kajian-kajian yang menunjukkan kebarangkalian haiwan liar mempunyai perasaan menimbulkan beberapa isu etika terutamanya dalam bidang yang masih memerlukan haiwan sebagai subjek utama; contohnya dalam kajian terhadap keberkesanan dan kesan sampingan ubat. Isu ini masih hangat diperdebatkan sehingga ke hari ini.

Layanilah haiwan tidak kira liar atau peliharaan sebaik mungkin. Mereka turut merasa sakit, sedih, gembira, teruja dan takut. Usah berlaku kejam terhadap mereka.

Takziah kepada ibu gajah atas kehilangan anak yang tercinta. Jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak penguasa yang bertindak dengan cekap dalam menguruskan mayat anak gajah itu.

Artikel ini ditulis khusus untuk Blog Nazri 

Nazri Zulkafli

blogger fakta/fiksyen

Doktor Kesihatan dan Penulis separuh masa. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perubatan Dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan menamatkan latihan perubatan (Housemanship) di Hospital Putrajaya pada tahun 2023

Nazri Zulkafli

Popular
Menarik

Ruang Iklan

Berminat hendak menempah ruang iklan ini?
Teroka
Iklan

Artikel Lain

Dapatkan tips dan fakta menarik

Langgan servis e-mel percuma