Jangan Terkejut, Ini 5 Kelebihan Baca Novel Melayu Fiksyen!

novel melayu

Kalau korang kenal aku, korang akan tahu yang aku agak obses dengan novel melayu. Bukan novel cintan cintun tu. Novel yang membawa idea baru, novel yang ringan bab cinta tetapi berat dengan plot, novel seram dan novel yang mendebarkan.

Aku suka baca novel sebab bagi aku novel adalah medium yang digunakan oleh penulis untuk berkomunikasi dengan pembaca. Plus membaca adalah satu amalan yang dapat memberikan banyak manfaat.

Dalam dunia teknologi yang serba maju ini, novel fiksyen mungkin nampak macam ketinggalan zaman. Yelah, semua benda di hujung jari. Nak makan? Tekan, tekan, tekan, makanan sampai. Nak masak? Tekan, tekan, tekan, masukkan bahan, mesin masakkan.

Kenapa korang kena baca buku fiksyen bila mana banyak filem fiksyen yang boleh ditonton kan? Laman sesawang macam Netflix, Hulu, Disney Hotstar dan HBO on the go; kesemuanya menawarkan judul-judul filem baharu dan eksklusif. Buat apa bazir masa baca buku yang memerlukan berjam-jam sedangkan filem boleh habis dalam sejam dua?

Kali ni, aku bukan nak cerita pasal buku yang sedang aku tulis je, aku nak beritahu sekali apa kebaikan yang korang boleh dapat dengan membaca novel fiksyen.

Teruskan membaca.

novel melayu
Gambar direka oleh ImageFX

Dunia gagak dan protagonis

Latar dunia gagak menggunakan latar dunia sebenar dengan lokasi yang sememangnya wujud. Namun suka untuk aku ingatkan, watak-watak yang aku tulis tidak wujud ya. Malah, mereka bukan berdasarkan kepada karakter yang benar-benar wujud pun.

So persoalannya, macam mana boleh terbit idea novel melayu bertajuk “Dendam Gagak”? Ya, kalau korang tak tahu, itulah tajuk novel aku. Dan jangan risau, korang tak perlu bayar pun nak baca. Aku terbitkan di laman Wattpad aku secara percuma. Jemput datang dan follow lah ya.

Idea dan inspirasi untuk tulis cerita ini berasal daripada burung gagak itu sendiri. Aku sangat taksub dengan makhluk bersayap hitam ini sebab satu, mereka cerdik dan dua, mereka boleh berdendam bertahun lamanya. Aku ada tulis artikel berkenaan tu. Kalau korang belum baca, jemput baca di sini.

Walaupun tajuk yang aku guna ada kaitan dengan burung gagak, bukanlah bermaksud aku nak jadikan binatang tu sebagai karakter utama aku. Tapi lebih kepada simbol ketakutan, dendam dan kegelapan. Kalau korang tanya aku, siapa karakter utama dalam cerita tu, aku pun tak berapa pasti. Boleh jadi Raizan (doktor psikiatri), Rania (anak kepada usahawan terkenal) atau boleh jadi puaka gagak itu sendiri (korang bacalah kalau nak tahu).

Novel melayu yang aku tulis ni berkisar tentang mereka bertiga tetapi ada banyak karakter sampingan yang melengkapkan cerita. Asalnya, tujuan aku adalah untuk menulis novel melayu yang berkisarkan dendam dan penyakit mental. Sebab tulah aku buat karakter utama itu seorang doktor psikiatri.

novel melayu
Gambar direka oleh ImageFX

Aku bukanlah arif dan pakar dalam bidang psikiatri. Tapi disebabkan aku juga seorang doktor yang pernah belajar pasal bidang ini, aku gunakan segala ilmu yang aku ada untuk terapkan ilmu penyakit mental dan dalam masa yang sama menghidupkan watak dengan kebolehan luar biasa; menjelajah ke dunia bawah sedar.

Oleh sebab penyakit mental mempunyai kaitan dengan personaliti, kewarasan dan tabiat, kebolehan yang dimiliki Raizan sememangnya berguna untuk dia menyelami dan mengetahui isi hati pesakit pada sudut yang paling dalam.

Diri kita ini berlapis dan untuk memahami setiap aspek pada lapisan diri memerlukan kebolehan yang unik. Kalau korang pernah dengar benda yang selalu sebut “takde siapa memahami aku”, itu adalah salah satu luahan atau ekspresi yang terbit tatkala kita rasa diri kita yang selalu kita anggap ringkas ini, mempunyai ekspektasi yang kadang kala kita sendiri tidak sedar.

Jadi dari mana datangnya perkara yang kita tak sedar ni? Adakah keseluruhan aspek diri kita tak sedar akan keinginan yang bersemadi di dalam diri kita? Sesuatu yang kita mahu tetapi hanya dapat dirasai dan tidak dapat difahami?

Of course konsep novel melayu ini sendiri bukan sesuatu yang mudah. Tetapi aku cuba juga untuk buatkan ia senang difahami.

Apabila wujud satu entiti yang berpakaian persis gagak muncul dalam hidup Raizan, ia menjadi obsesi buat lelaki itu. Bayangkan, korang berjumpa dengan saingan yang tak dapat korang fahami atau kalahkan, pasti korang rasa jelik dengan diri sendiri kan. Rasa lemah, rasa gagal dan bermacam-macam lagi emosi negatif.

Begitu juga dengan Raizan. Jadi novel ini lebih berpusat kepada Raizan dan gagak, pergelutan di antara manusia dan puaka yang cuba memerangi manusia melalui kekuatan minda.

Okey aku tak nak cerita lebih-lebih. Nanti terspoil pulak plot dia. Kalau nak baca, pergi ke profil Wattpad aku ya?

novel melayu
Gambar direka oleh ImageFX

Kelebihan baca novel melayu fiksyen (atau bahasa lain)

Jom kita tengok apa sebenarnya kelebihan kalau suka baca novel melayu fiksyen ni. Jangan salah faham. Manfaat ini bukan eksklusif untuk novel melayu sahaja. Tapi sebab aku suka baca novel melayu, jadi perkataan ini aku akan guna lebih kerap.

Ramai orang beranggapan hanya baca buku bukan fiksyen je dapat memberi manfaat, tapi diorang salah.

Membaca secara umumnya memang datang dengan bermacam jenis kelebihan. Agaknya sebab tulah dalam agama Islam, ‘Bacalah’ adalah ayat pertama yang diturunkan.

#1 Membaca novel fiksyen boleh meningkatkan kepintaran emosi dan meningkatkan kebolehan untuk berempati

Ya, aku tahu. Panjang tajuk. Tapi memang tak dapat dinafikan, membaca novel fiksyen sememangnya penuh dengan emosi. Macam naik roller coaster, sekejap naik, sekejap lagi turun. Sekejap gembira tergedik-gedik, sekejap lagi mata berair menangis. Ada yang meraung lagi.

Ini merupakan kelebihan yang unik untuk buku fiksyen, kebolehan untuk berempati. Berbeza dengan buku bukan fiksyen yang sarat dengan fakta dan idea namun ringan dengan emosi.

Melalui kelebihan ini, penulis dapat mendedahkan pembaca kepada perspektif yang pelbagai, emosi yang menjadi tunjang untuk merancakkan penceritaan dan dalam masa yang sama, nilai-nilai positif yang dapat memotivasikan pembaca.

novel melayu
Gambar direka oleh ImageFX

Apabila kita baca situasi yang berkait dengan perasaan sedih, rasa dikhianati, cinta, dan kejayaan, otak kita kebiasaannya akan memberi maklum balas untuk diri kita turut merasai seolah-olah berada dalam kasut protagonis yang sedang mengalami emosi tersebut.

Rangsangan emosi ini akan mengaktifkan rangkaian sel neuron di dalam otak sehingga membolehkan kita untuk turut melatih diri memahami pemikiran dan perasaan yang dialami karakter. Kesannya? Kita akan lebih berempati dan mempunyai perspektif yang berbeza.

Kajian pada tahun 2013 yang berkait dengan teori minda menunjukkan pembaca novel fiksyen tegar berupaya untuk menterjemah bahasa tubuh, intonasi dan emosi semasa bersosial lebih baik berbanding mereka yang kurang membaca.

Apabila korang baca novel melayu, korang akan secara automatik memperolehi dan meningkatkan kepintaran emosi. Ia merupakan salah satu komponen penting yang perlu ada dalam diri kita untuk membentuk hubungan sosial yang sihat dan menjadi pemimpin yang baik.

novel melayu
Gambar direka oleh ImageFX

#2 Novel fiksyen memperkuatkan fungsi kognitif otak dan kemahiran berbahasa

Berbeza dengan buku bukan fiksyen yang jarang memiliki lenggok bahasa, novel fiksyen boleh merangsang perkembangan otak melalui penulisan yang padat dengan gaya bahasa dan struktur ayat yang kompleks.

Korang mesti tahu kan? Kebanyakan novel melayu menggunakan tatabahasa aras tinggi dan kaya dengan ekpresi bernuansa. Kesemua faktor ini boleh menyumbang terhadap perkembangan kognitif dan kemahiran bahasa.

Waktu mula-mula aku baca buku ‘Mencari Mendam Berahi’ yang ditulis oleh Ilham Mazalan dulu, setiap masa aku akan cari makna perkataan di laman sesawang Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM). Tapi sekarang, aku boleh faham kebanyakan perkataan yang kompleks. Itu antara kesan yang paling jelas aku dapat rasa lepas baca beberapa buah novel. Gudang tatabahasa aku diisi dengan pengetahuan bahasa yang aku sendiri tak sedar yang aku tak tahu.

Selain daripada itu, fungsi kognitif seperti tumpuan dan penglibatan mental dalam pembacaan dapat dipertingkatkan melalui pembacaan cerita fiksyen. Apabila korang baca novel fiksyen, korang perlu peka dengan plot, garis masa dan sejarah hidup setiap karakter untuk betul-betul memahami jalan penceritaan.

baca buku
Gambar direka oleh ImageFX

Apabila korang selalu baca novel melayu (atau bahasa lain), korang akan sedar yang korang lebih mudah untuk mengaitkan plot, peristiwa dan perkara penting meskipun jalan penceritaan melompat-lompat dari satu garis masa ke garis masa yang berbeza.

Hebat kan?

Kelebihan ini bukan untuk budak remaja je, orang dewasa pun boleh mendapat kebaikan ini jika mereka membaca novel fiksyen. Takde istilah novel ini hanya untuk golongan muda remaja. Takde!

Ia bagaikan satu workout untuk otak, kesannya akal menjadi lebih tajam, fleksibel dan ia berupaya melambatkan proses penyusutan kognitif tatkala kita tua nanti.

#3 Menurunkan kadar stres dan merehatkan minda

Sama macam hobi-hobi lain, membaca juga boleh menjadi salah satu kaedah untuk merehatkan minda. Bacaan karya fiksyen memerlukan imaginasi. Jika korang tak reti nak berimaginasi pun, selepas beberapa bacaan, korang secara refleks akan berada dalam dunia bacaan. Teknik ini memudahkan kita untuk memahami plot dan meneroka dunia yang direka oleh penulis.

Membaca novel melayu fiksyen membolehkan kita untuk ‘lari’ seketika daripada ketegangan dunia nyata ke dalam dunia rekaan. Ia merupakan satu bentuk percutian minda.

novel melayu
Gambar direka oleh ImageFX

Menurut satu kajian yang dijalankan oleh ahli akademik Universiti Sussex pada tahun 2009, membaca boleh menurunkan kadar stres setinggi 60%. Apa yang lebih mengejutkan, kelebihan yang diperoleh daripada aktiviti ini mengatasi hobi seperti mendengar muzik atau bersiar-siar di luar.

Tak kiralah berapa lama yang korang peruntukkan untuk membaca, kalau tempoh singkat pun tetap akan memberikan manfaat.

Kajian itu mendapati dengan hanya membaca minimum 6 minit, degupan jantung boleh menjadi perlahan (dalam julat normal untuk individu) dan memulihkan ketegangan otot yang sering dialami ketika stres.

Berbeza dengan kalau korang skrol media sosial, tengok filem di kaca televisyen dan sebagainya, membaca memerlukan penglibatan fungsi mental secara aktif. Ini akan mengurangkan kecenderungan untuk fikiran korang menerawang entah ke mana, lepas tu overthinking.

novel melayu
Gambar direka oleh ImageFX

#4 Membina imaginasi dan kreativiti

Orang baca novel melayu fiksyen bukan untuk berseronok sahaja. Pembacaan karya fiksyen boleh merangsang pemikiran kreatif dan imaginasi pada aras tinggi.

Kalau korang selalu tengok filem, setiap bibit dan ciri-ciri dunia telah digambarkan melalui teknologi rakaman, CGI dan sebagainya. Tapi membaca tidak begitu. Ia bergantung kepada minda kita untuk mewujudkan gambar, karakter, suasana dan latar pembacaan.

Membaca buku terutamanya karya fiksyen memerlukan daya imaginasi yang kuat. Gambaran mental ini boleh mempertingkatkan kebolehan otak untuk membentuk rangkaian sesama neuron dan menggalakkan pemikiran di luar kotak.

Selain daripada itu, gaya pemikiran korang akan jadi lebih fleksibel. Penyelesaian masalah akan menjadi lebih mudah memandangkan kita sudah terbiasa dengan konsep “bagaimana kalau”, persoalan yang sering timbul ketika kita membaca.

novel melayu
Gambar direka oleh ImageFX

#5 Membentuk minat dan pembelajaran sepanjang hayat

Mungkin korang beranggapan pembacaan karya fiksyen tidak akan memberikan sebarang manfaat dari sudut pembelajaran. Namun, kebanyakan karya fiksyen masih memetik fakta dari dunia sebenar, menulis sejarah dalam gaya penceritaan yang lebih menarik minat pembaca dan memperkenalkan kebudayaan dalam rekaan plot.

Oleh sebab itulah karya fiksyen kebiasaannya dikategorikan menurut pengkelasan bidang ilmu seperti fiksyen sains, fiksyen sejarah, fiksyen sastera dan sebagainya. Setiap daripada satu membuka pintu subjek yang lebih kompleks dan direka khas untuk menarik perhatian serta meningkatkan rasa ingin tahu dalam kalangan pembaca.

Sebagai contoh, novel Fiksyen yang bertemakan Revolusi Perancis akan menyemai minat dan rasa ingin tahu pembaca untuk meneroka sejarah Eropah. Buku yang bertemakan distopia kebiasaannya akan menyelami konteks politik dan sains persekitaran.

Memang tak dapat dinafikan pembelajaran merupakan salah satu aspek dalam pembacaan novel melayu fiksyen. Malah gaya sebegini yang lebih interaktif dan bakal diingati oleh pembaca.

novel melayu
Gambar direka oleh ImageFX

Konklusi

Dalam dunia novel melayu fiksyen, aku masih penulis pemula. Jadi karya aku mungkin nampak tak matang dan dalam masa yang sama, meleret. Aku sedar benda tu selepas baca penulisan aku berulang kali. Tapi dalam beberapa situasi, aku tak boleh nak ubah sebab akan menyebabkan kesan Domino dalam plot penceritaan.

Tapi, Dendam Gagak bukan novel terakhir aku. Ia adalah satu langkah awal yang akan aku ambil untuk terus bertapak dalam bidang penulisan kreatif, walau tidak formal. Jadi kepada sesiapa yang nak sokong aku, boleh lawat profil Wattpad dan follow.

InsyaAllah lebih banyak karya akan menyusul.

Artikel ini ditulis khusus untuk Blog Nazri

Nazri Zulkafli

blogger fakta/fiksyen

Doktor Kesihatan dan Penulis separuh masa. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perubatan Dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan menamatkan latihan perubatan (Housemanship) di Hospital Putrajaya pada tahun 2023

Nazri Zulkafli

Popular
Menarik

Ruang Iklan

Berminat hendak menempah ruang iklan ini?
Teroka
Iklan

Artikel Lain

Dapatkan tips dan fakta menarik

Langgan servis e-mel percuma