Apa pandangan anda tentang minuman alkohol? Penulisan ini lebih memfokuskan kepada alkohol yang terkandung dalam minuman alkohol seperti wain, wiski, rum dan sebagainya.
Umum kita tahu alkohol mempunyai konteks penggunaan yang luas dalam kehidupan seharian. Keberkesanannya dalam kawalan wabak seperti yang dapat disaksikan ketika pandemik COVID-19 telah dibuktikan dalam pelbagai kajian saintifik.
Penggunaan bahan beralkohol turut diterapkan dalam situasi klinikal untuk mencegah jangkitan kuman.
Namun, apabila ia berkaitan dengan apa yang masuk ke dalam tubuh badan kita seperti minuman/makanan, adakah ia memberikan sebarang kebaikan dari sudut kesihatan? Apa kesan pengambilan alkohol pada sistem di dalam tubuh badan?
Pengar dan kaitannya dengan minuman alkohol

Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu, pengar boleh didefinisikan sebagai keadaan fizikal yang tidak menyenangkan seperti pening kepala, gangguan pada perut, muntah dan sebagainya kesan daripada pengambilan alkohol secara berlebihan. Dengan kata lain (mudah difahami), hangover.
Ia berbeza dengan mabuk. Mereka yang pengar mempunyai kawalan penuh terhadap tindakan, pemikiran dan fungsi fizikal yang lain manakala mereka yang mabuk pula bertindak dibawah kawalan minda separa sedar.
Mabuk adalah kesan langsung daripada pengambilan alkohol manakala pengar pula adalah kesan apabila seseorang itu berhenti mengambil sesuatu bahan (withdrawal).
Mereka yang mengambil minuman alkohol kebiasaannya akan berasa gembira (euphoria) dan tenang kesan daripada perubahan sementara sistem isyarat otak.
Alkohol berupaya untuk menghalang fungsi neurotransmiter, bahan kimia yang membantu sistem aliran isyarat di antara sel-sel otak (neuron). Keadaan ini bukan sahaja boleh menyebabkan perubahan pada mood, malah mereka yang mengambil alkohol juga akan mengalami perubahan pada cara berfikir dan tingkah laku.
Mereka yang mengambil alkohol boleh mengalami simptom seperti sukar untuk menumpukan perhatian, perubahan mood, merah-merah pada kulit, muntah, tekanan darah tinggi, kabur penglihatan dan hilang kesedaran (jika diambil berlebihan).

Bagaimana pula dengan pengar? Kebiasaannya, individu yang mengambil alkohol boleh mengalami simptom withdrawal beberapa jam selepas pengambilan minuman alkohol yang terakhir.
Namun suka untuk saya ingatkan kesan fisiologi ini berbeza antara setiap individu. Mungkin ada yang mengalaminya pada kadar masa yang lebih cepat, ada yang perlahan dan ada juga mereka yang tidak merasainya.
Antara simptom pengar adalah:
- Pening kepala
- Letih lesu
- Loya
- Muntah
- Dehidrasi
- Fobia cahaya
Secara fisiologinya, alkohol boleh menghalang fungsi hormon vasopresin yang dihasilkan oleh buah pinggang untuk menyimpan air di dalam tubuh badan. Keadaan ini menyebabkan air kurang diserap masuk semula ke dalam tubuh lalu mengalir ke dalam pundi kencing sebelum keluar melalui saluran kencing.
Apabila tubuh hilang banyak air, kepala akan terasa sakit dan pening, otot badan terasa lesu dan fungsi biologi akan sedikit terganggu kesan daripada paras garam mineral yang boleh jadi rendah (keluar bersama air kencing).
Lebih banyak seseorang itu minum, lebih lama kesan pengar yang akan dialami.
Lembab pemikiran dan perubahan mood

Terdapat banyak kajian saintifik yang membuktikan kesan negatif alkohol terhadap fungsi asas sel otak. Saya ada menyebut berkenaan neurotransmiter, bahan kimia yang membantu aliran isyarat sistem saraf. Antara neurotransmiter yang terkesan adalah asid gamma-aminobutyric atau lebih dikenali dengan sebutan GABA.
GABA bertindak sebagai perencat dalam sistem saraf. Dalam bahasa yang mudah untuk difahami, ia menyebabkan sistem fisiologi badan menjadi perlahan. Bahan kimia ini penting memandangkan ia mempunyai peranan dalam kawalan mood dan menghindarkan rasa resah.
Apa yang anda perlu tahu, alkohol juga bertindak sebagai perencat dalam sistem saraf manusia. Ini bermakna, komunikasi di antara sel-sel otak menjadi lebih perlahan sehingga menyebabkan kecelaruan pada koordinasi, masalah percakapan, refleks perlahan dan jika teruk, hilang kesedaran.
Dalam jangka masa panjang, pengambilan alkohol secara berlebihan boleh membunuh fungsi sel otak. Keadaan ini boleh menyebabkan masalah memori, pembelajaran dan koordinasi di samping meningkatkan risiko penyakit mental (kemurungan, keresahan dan lain-lain).
Kebanyakan perubahan ini berlaku dalam kadar yang perlahan dan pada tahap molekul. Adaptasi badan terhadap pengambilan alkohol berlebihan boleh dilihat secara kasar, namun perubahan pada struktur otak? Bukanlah sesuatu yang dapat dilihat dan boleh dipandang ringan.
Paradoks Perancis

Pelbagai kontroversi wujud apabila ia berkaitan dengan kesan alkohol terhadap sistem kardiovaskular (jantung). Lewat 1980-an, pemerhatian terhadap data epidemiologi menunjukkan kadar kematian yang rendah dalam kalangan warga Perancis walaupun mereka mempunyai kadar pengambilan makanan dengan kandungan lemak tepu dan minuman alkohol yang tinggi.
Mungkin ini adalah data yang sering digunakan untuk menguatkan lagi penerapan pengambilan alkohol pada kadar terkawal. Walau bagaimanapun, tidak banyak bukti yang menunjukkan pengambilan alkohol boleh memanjangkan usia.
Sejenis antioksidan, polifenol mungkin menjadi penyumbang kepada kesan kesihatan tersebut. Minuman alkohol mengandungi polifenol pada kepekatan rendah. Antioksida ini penting berikutan ia boleh melindungi sel daripada kerosakan berpunca daripada sejenis molekul kurang stabil, molekul radikal bebas (free radicals).
Kajian juga menunjukkan polifenol di dalam wain merah boleh membantu melindungi badan daripada masalah kesihatan seperti kegagalan jantung, darah tinggi dan pengumpulan lemak pada dinding salur darah (atherosclerosis).
Walau bagaimanapun, dapatan kajian lepas menunjukkan jumlah polifenol yang perlu diambil untuk mencapai kesan baik terhadap sistem jantung adalah sekitar 800 miligram. Kesan baik akan berkurangan jika pengambilan jumlah polifenol berkurang. Sebagai contoh, mereka yang mengambil 800mg polifenol boleh menikmati kadar penurunan risiko kematian sebanyak 24%, berbeza dengan mereka yang hanya mengambil 700mg polifenol, pada kadar 18%.
Masalahnya, 800mg adalah terlalu tinggi jika dibandingkan dengan apa yang terkandung di dalam minuman alkohol. Wain sebagai contoh hanya mengandungi 24mg polifenol jika diambil sebanyak 750ml (saiz sekitar 1 setengah botol kecil air mineral). Jika kita ambil saiz gelas 6 auns, seseorang itu perlu mengambil kira-kira 133 gelas wain.
Lebih baik seseorang itu mengambil buah dan sayur jika mahu kesan baik polifenol (kandungan di dalam buah jauh lebih tinggi).
Lebih banyak cara untuk kekal sihat selain minuman alkohol

Tidak banyak bukti yang menunjukkan kesan baik alkohol terhadap sistem kardiovaskular. Ia mungkin boleh atau tidak boleh meningkatkan atau merendahkan kadar kematian. Kelanjutan usia bukan satu topik yang mudah memandangkan ia boleh dipengaruhi oleh pelbagai faktor.
Pun begitu, apa yang lebih terbukti adalah pengambilan alkohol merupakan faktor risiko untuk pelbagai jenis masalah kesihatan termasuk kanser.
Boleh jadi ia berlaku disebabkan oleh kebolehan alkohol untuk merubah proses fisiologi badan sehingga mempengaruhi fungsi hormon. Punca lain boleh jadi disebabkan oleh bahan kumuh alkohol, asetaldehid yang boleh menyebabkan kerosakan pada struktur DNA.
Apa yang ingin saya katakan di sini adalah alkohol bukanlah sebab atau hujah utama untuk hidup sihat. Jika anda inginkan jantung yang sihat, anda boleh terapkan senaman kardiovaskular, kurangkan pengambilan makanan berkarbohidrat dan menjaga kualiti tidur.
Kepada yang mungkin sudah menjadi tabiat untuk minum setiap hari, kawal jumlah pengambilan anda.
Artikel ini ditulis khusus untuk Blog NazriÂ
Artikel ini ditulis untuk mendidik masyarakat tempatan berkenaan dengan topik kesihatan. Ia bukanlah rujukan yang sesuai untuk mendiagnosis. Dapatkan bantuan dari fasiliti kesihatan berdekatan sekiranya anda menghidap gejala penyakit tertentu.