Bronkiolitis Akut, Ini 5 Punca Kenapa Si Manja Alami Batuk Selesema

batuk

Penulisan berkaitan batuk selesema ini ditujukan kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak berusia di bawah 2 tahun.

Terutamanya kepada mereka yang baru sahaja menjadi ibu bapa, pasti agak menakutkan apabila anak mula batuk dan selesema. Ditambah dengan demam panas dan nafas bayi yang semakin laju, ibu bapa tiada pilihan selain membawa anak ke klinik atau jabatan kecemasan hospital.

Tindakan yang tepat!

Tapi, apa sebenarnya yang berlaku?

Kita tahu, jika seseorang itu batuk atau selesema, ia merupakan tindak balas badan hendak melawan jangkitan.

Mukus atau bendalir pekat yang mengalir keluar sama ada melalui mulut (batuk) atau hidung (selesema) merupakan salah satu tindak balas badan dalam usaha hendak mengeluarkan gumpalan partikel jangkitan.

Namun dalam sesetengah situasi, penghasilan bendalir ini tidak mendapat respon yang begitu baik daripada tuan punya tubuh.

Cecair yang dihasilkan pada saluran kecil pernafasan yang dinamakan bronkiol membuatkan laluan udara itu tersumbat lantas bayi anda mula bernafas laju.

batuk selesema
Gambar oleh CNX OpenStax dan dilesenkan oleh Creative Commons 4.0

Malangnya nafas laju sahaja tidak cukup! Aliran udara masih lagi kurang memandangkan lebih banyak bronkiol yang tersumbat dalam proses radang yang berlaku di dalam paru-paru.

Anak mula batuk selesema secara kerap. Tubuhnya tidak henti-henti mencuba untuk mengeluarkan mukus namun tidak berjaya.

Sedang si ibu asyik memeriksa anaknya, dia mula hairan. Kenapa setiap kali bayinya bernafas, lekuk-lekuk mula kelihatan pada celahan tulang rusuk, di bahagian atas abdomen dan di bawah leher?

Ibu bingung, bapa bingung dan anak masih lagi tidak berhenti-henti bernafas laju. Batuk selesema semakin menjadi-jadi lalu kunci kereta dicapai dan si bapa terus membawa anaknya ke hospital.

Pengenalan kepada bronkiolitis akut

Acute bronchiolitis. Mungkin nama penyakit ini dianggap biasa oleh orang Amerika dan British, namun ia tidak begitu diketahui oleh masyarakat tempatan di Malaysia.

Bahkan ada yang tak memahami konsep radang pun.

Untuk memahami bronkiolitis akut, anda perlu memahami struktur paru-paru.

batuk selesema
Gambar oleh Sumaiya dan dilesenkan oleh Creative Common 4.0

Secara ringkasnya, sistem pernafasan manusia bermula daripada mulut dan hidung. Apabila kita menyedut udara, ia akan memasuki tubuh melalui rongga mulut dan hidung. Bukaan ini bertindak sebagai pintu masuk dan keluar.

Udara akan masuk ke dalam saluran tekak seterusnya trakea yang merupakan laluan utama masuk ke paru-paru. Kepada yang tidak tahu, laluan trakea juga berdekatan dengan laluan esofagus (ke perut). Oleh sebab itulah jika kita minum air/makan sesuatu lalu ia masuk ke dalam laluan yang salah, kita akan tersedak.

Apabila udara memasuki trakea, laluan itu akan menjurus kepada dua simpang kiri dan kanan dinamakan bronkus. Tiada apa yang istimewa, setiap satu membawa udara masuk ke dalam paru-paru, sama ada kanan atau kiri.

Setelah itu, udara akan masuk melepasi bronkus ke persimpangan kecil yang dinamakan bronkiol. Kawasan inilah yang menjadi fokus utama dalam masalah radang. Mukus yang dihasilkan untuk melawan jangkitan boleh membuatkan laluan ini tersumbat.

Akhirnya udara akan memasuki struktur berbentuk belon yang dipanggil alveolus. Ini merupakan struktur terakhir dalam proses pernafasan. Udara (oksigen) akan masuk ke dalam saluran darah melalui struktur ini lalu disebarkan ke seluruh badan untuk memenuhi kehendak biologi sel tubuh.

Gas karbon dioksida pula (bahan perkumuhan sel) akan dibawa keluar dari tubuh melalui aliran darah ke paru-paru lalu keluar melalui alveolus, bronkiol, bronkus, trakea lalu dihembus keluar melalui mulut atau hidung.

Kenapa kanak-kanak mudah mendapat bronkiolitis akut

batuk selesema
Gambar oleh Pexel

Kajian menunjukkan insiden penyakit bronkiolitis akut sangat tinggi dalam kumpulan kanak-kanak berusia 1 tahun dan ke bawah. Oleh sebab itulah jarang bagi mereka yang berusia di atas 1 tahun untuk didiagnosis dengan penyakit ini.

Terdapat beberapa faktor utama yang mempengaruhi kenaikan risiko dalam kalangan kanak-kanak untuk mendapat bronkiolitis akut.

  1. Ruangan pernafasan yang kecil: Berbanding dengan orang dewasa atau golongan kanak-kanak berusia 2 tahun ke atas, golongan berisiko mempunyai laluan bronkiol yang kecil. Proses radang yang berlaku akan menyebabkan cecair mukus menghalang laluan udara sehingga menyebabkannya tersumbat. Dalam situasi ini, kanak-kanak bukan sahaja akan alami batuk selesema, malah sesak nafas.
  2. Sistem imun yang tidak matang: Kanak-kanak yang berusia 1 tahun dan ke bawah mempunyai kecenderungan untuk mendapat jangkitan virus seperti RSV (Respiratory syncytial virus) berikutan sistem pertahanan badan yang belum matang. Jangkitan ini akan menyebabkan badan bertindak balas dengan memulakan proses radang lalu menjurus kepada pengeluaran cecair mukus.
  3. Batuk selesema, namun tidak cekap mengeluarkan mukus: Berbeza dengan orang dewasa, kanak-kanak berusia 2 tahun dan ke bawah tidak boleh mengeluarkan kahak. Mereka tidak tahu bagaimana! Mereka mengalami batuk selesema susulan jangkitan namun cecair mukus banyak yang tersekat pada laluan pernafasan. Oleh sebab itu bunyi batuk mereka kedengaran seperti berkahak namun tiada apa yang keluar. Dalam sesetengah kes, staf kesihatan perlu menyedut keluar kahak tersebut menggunakan tiub kecil untuk membantu bayi bernafas dengan lebih teratur.
  4. Pendedahan pertama: Sistem pertahanan badan perlu mengenali virus untuk menghasilkan antibodi. Oleh sebab itu jika kita terkena jangkitan virus, kita akan lebih sukar dijangkiti buat kali kedua. Badan sudah mempunyai sel memori untuk menghasilkan antibodi dengan cepat jika virus berkenaan cuba menjangkiti lagi. Ini juga merupakan konsep yang digunapakai dalam pembuatan dan pemberian vaksin. Virus yang dilemahkan akan disuntik masuk untuk diperkenalkan kepada sistem imun badan. Jika kanak-kanak tersebut tidak pernah dijangkiti, dia akan lebih berisiko untuk mendapat jangkitan seterusnya radang pada struktur bronkiol.
  5. Faktor persekitaran: Anak-anak kecil yang dijaga beramai-ramai dalam satu persekitaran yang sama berisiko dijangkiti dan menjangkiti. Rumah pengasuh yang menjaga ramai kanak-kanak, taska dan sebagainya membuatkan si kecil mudah untuk mendapat batuk selesema berpunca daripada jangkitan virus. Antara jangkitan yang boleh dialami si manja adalah bronkiolitis, jangkitan paru-paru (pneumonia), penyakit mulut, kaki dan tangan (HFMD) dan cacar air (chickenpox).

Apa yang perlu saya lakukan jika anak alami batuk selesema?

batuk selesema
Gambar oleh Pexel

Pertama sekali, ibu bapa perlu bertenang. Apa yang anda semua perlu tahu, bukan semua kes batuk selesema merupakan manifestasi bronkiolitis akut. Ada kalanya ia hanya jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) yang kebiasaannya tidak merbahaya.

Cuma jika anak anda berusia 1 tahun ke bawah dan simptom termasuk bernafas laju/nafas berbunyi, mereka berisiko tinggi didiagnosis dengan bronkiolitis.

Kedua, kebanyakan anak-anak yang dijangkiti dengan masalah ini berada dalam keadaan stabil. Mereka batuk selesema namun tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda amaran.

Antara tanda amaran yang perlu dikenalpasti dalam kalangan kanak-kanak yang sakit adalah:

  1. Bernafas laju: Ini mungkin agak mencabar untuk ibu bapa memandangkan kanak-kanak mempunyai kadar pernafasan normal yang lebih laju berbanding orang dewasa. Lebih mengelirukan, kadar normal ini berubah mengikut usia. Secara umumnya, bayi yang berusia 1 tahun dan kebawah mempunyai kadar pernafasan normal di antara 30-40. Bagi kanak-kanak berusia 1 hingga 2 tahun, kadarnya di antara 25-35. Bagaimana cara untuk mengira kadar pernafasan bayi? Kira turun naik perut mereka dalam masa 1 minit. Perlu 1 minit memandangkan kebanyakan kanak-kanak tidak bernafas dengan sekata. Jika jumlah pernafasan mereka dalam julat normal namun agak tinggi sebagai contoh 38 bagi bayi berusia 10 bulan, anda perlu lebih berwaspada.
  2. Nafas berbunyi: Jika anak anda mengeluarkan bunyi ketika bernafas, ia menandakan ada sesuatu yang tersekat pada laluan udara. Dalam kes jangkitan, boleh jadi kahak pekat yang berkumpul pada mana-mana struktur pernafasan namun sukar dikeluarkan. Bunyi tersebut boleh jadi bunyi bernada tinggi seperti wisel (wheeze) atau bunyi kasar (grunting).
  3. Biru pada bibir, lidah atau jari jemari: Ini menandakan tahap oksigen di dalam badan berada pada paras yang sangat rendah. Anak kecil kebiasaannya akan bernafas laju dan kelihatan tercungap-cungap mengambil udara. Dalam keadaan sebegini, anda dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan kecemasan segera di unit kesihatan berhampiran.
  4. Tidak mahu makan/minum: Kebanyakan kanak-kanak yang mengalami bronkiolitis akut tidak berselera atau enggan makan terutamanya jika ia serius. Seperti yang anda sedia maklum, struktur trakea terletak berdekatan dengan struktur esofagus. Trakea untuk bernafas dan esofagus untuk mencerna makanan. Jika mereka sedang sesak nafas, mengalami batuk selesema teruk, mereka kebiasaannya enggan makan untuk memaksimumkan udara masuk ke dalam ruang pernafasan.
  5. Tampak terlalu letih: Jika anak anda kelihatan terlalu lemah dan tidur terlalu lama, dia mungkin berada dalam keadaan yang serius. Lebih teruk jika usaha untuk mendapatkan oksigen secara aktif (bernafas laju, menggunakan otot pernafasan) menyebabkan mereka keletihan. Setiap otot yang turut serta membantu sistem pernafasan seperti otot di celahan tulang rusuk, otot leher, otot di atas dan di bawah tulang selangka akan mengunakan sejumlah tenaga tubuh yang sangat banyak. Jika kanak-kanak tersebut tidak mendapatkan terapi oksigen dalam masa terdekat, keletihan kesan daripada usaha untuk mendapatkan udara akan menyebabkan tubuh mereka lemah longlai.
  6. Tanda-tanda dehidrasi: Kanak-kanak berusia 1 tahun dan ke bawah yang tidak makan atau kurang minum susu boleh menunjukkan tanda-tanda dehidrasi seperti kering bibir, kering lidah, lekuk pada atas kepala, menangis tanpa air mata dan sebagainya. Jika ada tanda-tanda dehidrasi, bawa anak anda ke fasiliti kesihatan terdekat untuk mendapatkan rawatan sokongan seperti infusi cecair intravena.

Jika anak anda mengalami sebarang tanda amaran yang tersenarai di atas selain gejala batuk selesema, sila bawa mereka ke fasiliti kesihatan terdekat.

Walaupun segelintir populasi bayi yang menghidap bronkiolitis akut hanya memerlukan rawatan sokongan, mereka yang menunjukkan gejala amaran perlu dirawat dengan lebih intensif.

Kebanyakan punca jangkitan dalam kalangan kanak-kanak adalah virus, maka antibiotik, secara amnya tidak diperlukan. Badan mereka berupaya untuk mencipta antibodi untuk melawan virus tersebut. Ia hanya memerlukan masa untuk bertindak.

Jangan pandang enteng akan keadaan kesihatan ini! Ia boleh menyebabkan komplikasi yang lebih serius sekiranya tidak dirawat dengan betul.

Artikel ini ditulis khusus untuk Blog Nazri 

Artikel ini ditulis untuk mendidik masyarakat tempatan berkenaan dengan topik kesihatan. Ia bukanlah rujukan yang sesuai untuk mendiagnosis. Dapatkan bantuan dari fasiliti kesihatan berdekatan sekiranya anda menghidap gejala penyakit tertentu.

Nazri Zulkafli

blogger fakta/fiksyen

Doktor Kesihatan dan Penulis separuh masa. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perubatan Dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan menamatkan latihan perubatan (Housemanship) di Hospital Putrajaya pada tahun 2023

Nazri Zulkafli

Popular
Menarik

Ruang Iklan

Berminat hendak menempah ruang iklan ini?
Teroka
Iklan

Artikel Lain

Dapatkan tips dan fakta menarik

Langgan servis e-mel percuma